Advertisement

Prosiding mahasiswa UM8 suatu penindasan – Hilal Azman

Lensa Kampus mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak Universiti Malaya (UM) yang menjatuhkan hukuman kepada 8 orang mahasiswa UM pada 9 Disember lalu kerana membawa alumni UM iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam kampus untuk menyampaikan pidato “40 Tahun Anwar Ibrahim: Dari UM ke Penjara” pada Oktober lalu.

Kebobrokan pentadbiran UM ini secara tidak langsung mencabul kebebasan akademik serta kebebasan mahasiswa bersuara pada hari ini. Dalam mendepani dunia yang semakin global kompleks ini, rupanya masih ada penjajahan bentuk baru dilakukan pihak pentadbiran universiti kepada mahasiswa.

Universiti bukanlah kilang dan mahasiswa bukanlah robot yang acuannya dibentuk mengikut kehendak pentadbir semata-mata. Universiti merupakan gelanggang atau medan untuk mahasiswa saling bertukar pandangan serta bebas beraktivisme yang jauh daripada ‘tangan-tangan ghaib’.

Hukuman yang dikenakan ke atas 8 orang mahasiswa ini memberikan gambaran nilai keilmuan mahasiswa hanya terikat di bilik-bilik kuliah serta terikat dengan peraturan-peraturan universiti yang semakin hari semakin merencatkan autonomi mahasiswa.

Mahasiswa sebenarnya adalah golongan yang berhak untuk memberi respons kepada isu nasional memandangkan mereka bakal peneraju negara suatu hari nanti. Menurut Tan Malaka, idealisme adalah kemewahan terakhir yang hanya dimiliki mahasiswa.

Oleh itu, pihak pentadbir UM sepatutnya akur memberi laluan kepada mahasiswa menganjurkan apa jua program termasuk menjemput baik pihak kerajaan mahupun pembangkang bagi menyemarakkan lagi idealisme mahasiswa. Mahasiswa perlulah bebas.

Mahasiswa adalah golongan terpelajar yang sekaligus merupakan agen perubahan dan pembimbing kepada masyarakat. Jika di kampus lagi sudah disekat dengan pelbagai akta rimba maka mahasiswa kelak akan berminda mandul.

Kami dari kalangan aktivis Lensa Kampus menegaskan supaya pihak pentadbiran UM segera menarik semula hukuman serta tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap 8 orang mahasiswa UM ini.

Kami mengulangi pendirian yang mahasiswa akan terus bersolidariti dengan arus kebangkitan dan semangat mahasiswa serta anak muda bagi melawan apa jua undang-undang yang sebenarnya semakin memperbodoh minda mahasiswa. Kami menyeru supaya masyarakat mahasiswa daripada seluruh kampus di Malaysia untuk sama-sama turun padang bersolidariti di #OccupyUM. – 12 Disember, 2014.

* Penulis adalah aktivis Lensa Kampus.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.