Advertisement

Pulihkan imej, elak kekalahan Pakatan

Pakatan Rakyat (PR) - baik PAS, PKR dan DAP akan kecundang dalam Piliihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekiranya tidak membaiki hubungan antara satu sama lain, mengakhiri krisis dalaman, membetulkan kembali imej dan persepsi PR itu sendiri.

Ini ingatan jelas bukan saja daripada para penganalisis dan pemerhati politik, bahkan rakyat jelata di mana pandangan ini mesti diberi perhatian serius, membuang keangkuhan pemimpin dan pengikut parti masing-masing, juga elakkan balas dendam serta prejudis atas pelbagai sebab.

Mulai sekarang, menurut mereka, pimpinan tiga parti komponan PR mestilah menyelesaikan perselisihan ini dan jangan sama sekali cuba menafikan kewujudan perselisihan ini, walau sekecil manapun. Jangan hanya mempamerkan senyum dam berdakapan di depan umum atau di sidang media, tetapi bergeseran di belakang tabir. Ertinya jangan lagi berlakon kerana rakyat tahu.

Menurut pemerhati lagi, setiap pemimpin parti mesti duduk semeja, berusaha menyelesaikan sengkita ini dan jangan berkhayal untuk bertanding sendirian dalam PRU akan datang justeru itu hanya mimpi ngeri.

Jangan menafikan, setiap parti dalam komponan PR menghadapi ketidaksefahaman dalaman - bergantung kepada saiznya, besar, sederhana atau kecil. Masing-masing parti pula memang wujud golongan pelampau dan fanatik parti.

Sudah diketahui umum ada kecenderungan pemimpin PAS, DAP mahupun PKR melemparkan kritikan, tuduhan, malahan kata-kata yang menghina antara satu sama lain. Juga ada yang saling memperkecil, malah memperlekeh sejak beberpa waktu ini, terutama berhungan dengan krisis politik di Selangor.

Tidak perlu diulang lagi butir krisis tersebut, kerana hampir semua pihak sudah mengetahuinya menyebabkan rakyat kecewa dan meluat. Bagaimanapun ada beberapa petanda terkini krisis itu nampaknya berterusan. Umpamanya di Pulau Pinang, seorang ahli majlis kerajaan tempatan daripadaPAS, Iszuree Ibrahim dipecat serta merta setelah mengkritik kerajaan negeri di Muktamar PAS.

Di Sarawak, Pemuda DAP menyifatkan PAS sudah tidak ada dalam PR di negeri itu dan Ahli Jawarankuasa PAS Pusat, Nik Mohd Abduh Nik Aziz pula mendakwa PKR dan DAP meminggirkan PAS.

Sementara itu di Selangor, rakyat sedang memerhatikan kepimpinan menteri besar baharu, Azmin Ali bagaimana ia memberi layanan kepada ketiga-tiga komponan dalam PR. Menurut saya, ini ujian paling mencabar buat Azmin di mana pelbagai pihak mahu Azmin benar-benar berlaku adil dalam layanannya kepada semua komponan.

Sebarang rasa tidak puas hati, jika ada, di antara komponan, maka Azmin dan pasukan kerjanya perlu mengatasi segera atas nama menteri besar PR, bukan semata-mata sebagai menteri besar daripada PKR. Saya kira, Azmin orang yang faham erti keadilan dan amanah dalam Islam kepimpinan seseorang akan diadili di akhirat kelak.

Sebarang jurang tidak puas hati perlu diselesaikan segera, walaupun tentunya begitu sukar dan ini memerlukan pengorbanan serta tolak ansur semua pihak.

Hentikanlah memandang serong dan prejudis, atau memandang hina antara satu sama lain dalam PR, tetapi berusahalah memulihkannya dengan segera. Jika tidak dapat diselesaikan, maka saya khuatir Pakatan Rakyat hanya akan hanya tinggal sejarah dalam politik tanah air selepas PRU akan datang.

Jangan berkhayal untuk bertanding bersendirian dalam PRU kerana pelbagai bukti sudah terserlah betapa tidak mampunya sesuatu parti dalam Pakatan bertanding secara bersendirian.

Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubur di Kelantan, di mana PAS kalah di kawasan majoriti Melayu, membuktikan PAS tidak boleh bersendirian, walaupun kekalahan itu juga disebabkan beberapa faktor lain.

Begitu juga parti lain dalam PR. Ada laporan menyatakan anak muda, generasi baru, tidak keluar mengundi kali ini di Pengkalan Kubur. Maka itu, pemimpin PAS, khususnya di Kelantan perlu membuat kajian mengapa hal ini terjadi. Adakah anak muda sudah menolak PAS?

Krisis antara komponen PR, seperti saya katakan tadi, mesti diakui dan diselesaikan segera, tidak boleh berlengah-lengah lagi, kerana ia membawa akibat paling buruk kepada PR seluruhnya.

Jangan berfikir jika PR berpecah, hanya PAS kononnya akan menerima akibatnya. Ini pandangan yang salah sama sekali. Oleh itu, jika PR berpecah, maka PKR dan DAP juga akan menerima kesan buruknya.

Yang penting sekarang ialah supaya PAS, PKR dan DAP memulihkan kembali imej dan persepsi PR dan hanya dengan berbuat demikian, kewibawaan PR akan kembali pulih.

Jangan biarkan perpecahan dalam PR disebabkan keangkuhan pimpinan masing-masing, saling merasakan hebat, berpengaruh dan berkuasa menenentukan jalannya politik PR.

Dalam PRU ke-12 dan 13 yang lalu, rakyat pelbagai kaum sudah memberikan sokongan besar kepada PR hingga Umno Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga. Keputusan ini mesti dipertahankan dalam PRU akan datang.

Sebelum krisis di Selangor berlaku, rakyat pelbagai kaum mengundi calon komponen PR dan ini memberi isyarat PR sudah berjaya mengatasi polarisasi kaum dalam pengundian, memberikan tanda cerah PR berjaya mengenepikan unsur perkauman dalam pengundian.

Tetapi sejak 7 bulan yang lalu, sejak tercetusnya kriris politik di Selangor oleh projek Langkah Kajang PKR, maka krisis politik di Selangor berlanjutan, merosakkan imej dan persepsi terhadap PR seluruhnya.

Kesimpulannya, rakyat menuntut pelaku politik dalam PR segera berlapang dada, tidak membalas dendam, tidak hinna menghina. Segera membuang segala keangkuhan peribadi di mana merasakan partinyalah yang besar dan penting dalam PR di mana boleh menentukan segalanya.

PRU akan datang hanya kira-kira 3 tahun lagi, atau mungkin kurang daripada itu, sebab itu nasib PR bergantung kepada pemulihan daripada krisisnya, kalau tidak pulih, rakyat akan menghukum PR. – 1 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.