Pusat sehenti urus visa pelancong dari Bangladesh beroperasi 1 Oktober - Bernama

Sebuah pusat sehenti, dikendalikan agensi dilantik kerajaan akan mula beroperasi di Bangladesh pada 1 Oktober ini bagi menguruskan visa pelancong dari negara itu, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Beliau berkata pewujudan pusat itu dipersetujui Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam dan butirannya sedang diperincikan.

Katanya langkah itu antara lain bertujuan membanteras kegiatan pemalsuan visa dan pemerdagangan orang kerana bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini 6,136 pelawat dari Bangladesh dilarang masuk ke Malaysia kerana menggunakan visa palsu.

Visa palsu itu dipercayai ada kaitan dengan kegiatan pemerdagangan orang, katanya dalam sidang media di ibu pejabat Imigresen di sini hari ini.

"Pusat sehenti itu bertanggungjawab untuk memastikan setiap pelawat dari Bangladesh yang berhasrat memasuki Malaysia wajib memiliki tiket penerbangan pergi balik, nombor telefon untuk dihubungi, alamat penginapan hotel atau alamat tempat tinggal sepanjang tempoh mereka berada di Malaysia dan duit poket RM2,000.

"Pengeluaran visa untuk warga Bangladesh dinamakan Visa Luar Negara (VLN), sistem visa ini akan mencatatkan data lengkap setiap pelawat ke Malaysia dan data tersebut boleh diperoleh di semua pintu masuk Imigresen di seluruh Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata urusan permohonan visa pekerja untuk warga Bangladesh masih tidak berubah dan melalui prosedur sama.

Mengenai Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P), beliau berkata sejak operasi bermula 1 Sept lepas, sejumlah 8,904 warga asing diperiksa dalam 57 operasi yang dijalankan di seluruh negara dan daripada jumlah itu 2,586 ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Sebanyak 771 warga asing dari Indonesia ditangkap diikuti Myanmar (579), Bangladesh (389) dan Nepal (243), serta dari Kemboja, Vietnam, India, Pakistan, Filipina, China, Nigeria dan Thailand," katanya.

Kesemua yang ditahan akan dihantar pulang dengan segera dan warga asing yang tidak mempunyai pasport atau dokumen perjalanan akan dirujuk kepada kedutaan mereka untuk proses penghantaran pulang, katanya.

Alias berkata majikan yang didapati bersalah menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa izin boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara hingga lima tahun atau enam sebatan atau ketiga-tiganya.

Mengenai seorang anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi mengesan pekerja asing tanpa izin di sebuah tapak pembinaan di Negeri Sembilan yang dikatakan diugut dengan sepucuk pistol, beliau berkata laporan polis telah dibuat mengenai insiden itu. - Bernama, 3 September, 2013