Putrajaya belum muktamad GST, cadang sifar cukai barang keperluan asas

Oleh Mohd Farhan Darwis

Kerajaan masih belum memuktamadkan pelaksanaan dan kadar bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana ia masih lagi diperingkat kajian, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Ahmad Husni berkata, Putrajaya bagaimanapun telah mempertimbangkan untuk memberikan cukai sifat kepada barangan keperluan asas dan kegunaan harian seperti produk makanan, air, dan elektrik yang diperlukan rakyat daripada golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan masih belum membuat kata putus lagi dan akan dimaklumkan keputusan itu kelak," katanya menjawab soalan ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari ketika sesi perbahasan di Parlimen hari ini.

Ahmad Husni berkata, termasuk Malaysia, hanya 11 sahaja negara yang belum melaksanakan GST, sedangkan 160 negara telah melaksanakan sistem percukaian berkenaan.

"Negara mahukan sistem kutipan cukai terbaik dalam menguruskan kewangan. Peningkatan hasil peningkatan perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat," kata Ahmad Husni, yang juga ahli Parlimen Tambun.

Antara cadangan sifar cukai itu jelas Ahmad Husni adalah termasuk barang makanan, seperti beras, minyak masak, ternakan dan daging, ukan udang, bekalan eletrik 200 kilowat, bekalan air 30 meter padu.

"Barangan dan produk diperingkat penjualan akhir, tidak dikenakan GST," katanya, dan menambah ia berkurangan daripada peraturan yang dikenakan, ia melibatkan teksi, bas dan rumah kediaman.

"Ada dua impak yang kita lihat , bebanan kepada rakyat, berbanding cukai jualan dan berapa banyak pertambahan sekiranya berlaku dan apakah kaedah ini sekiranya dan kadar faedah ini sedang kita kaji," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun dalam kajian kerajaan, GST merupakan sistem yang baik dan dilaksanakan di 140 negara bagi menggantikan cukai jualan dan perkhdimatan, namun dengan mengambil kira prinsip rakyat, maka kerajaan tidak melaksanakan cadangan itu pada masa sekarang.

Rang Undang- Undang GST telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Disember 2009, namun bacaan kedua yang dijadualkan pada Mac 2010, telah ditangguhkan.

Ia pada mulanya dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2011 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan. - 27 Jun, 2013.