Malaysia Elections 2013

Rafizi mohon dakwaan BAFIA di gugurkan, tuduhan berniat jahat ke atasnya

Oleh Mohd Farhan Darwis

SHAH ALAM, 10 Sept — Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini mengemukakan permohonan untuk menggugurkan dakwaan ke atasnya di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) kerana bukti-bukti bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berniat jahat dan pertuduhan terpilih.

Menurut peguam yang mewakilinya, N. Surendran, tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Rafizi adalah bertentangan dengan polisi awam kerana apa yang dibuat Rafizi adalah mendedahkan salah guna wang rakyat.

“Macam mana kamu boleh dakwa orang yang mendedahkan perkara baik?

“Keseluruhan prosiding jenayah yang dikenakan terhadapnya adalah penyalahgunaan undang-undang demi kepentingan Umno... ia adalah tuduhan bermotif politik,” kata Surendran kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, Rafizi telah dibicarakan atas dakwaan mendedahkan butiran perbankan yang berkaitan dengan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Beliau telah dibicara di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung kes pencabulan undang-undang itu dengan mendedahkan butir-butir perbankan NFC dan pengarahnya.

Turut dibicara adalah bekas kerani Public Bank cawangan Jinjang Johari Mohamad, yang dituduh membantu Rafizi mendedahkan transaksi akaun milik Pengarah NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

“Sehubungan itu, kami meminta Mahkamah Tinggi untuk menetapkan tarikh sebutan kes berhubung permohonan ini,” kata Surendran.

Hakim Mahkamah Sesyen Aslan Zainuddin kemudiannya menetapkan tarikh sebutan kes pada 10 Oktober depan untuk sebutan.

Rafizi berkata pembangkang tidak akan mengalah terhadap “pendakwaan politik” terhadapnya, dan menambah ianya bertentangan dengan polisi awam untuk menghukum pemberi maklumat sepertinya kerana beliau mendedahkan penyelewengan dana rakyat dalam skandal NFC.

“Ia bertentangan polisi awam. Ia tidak memberikan manfaat kepada rakyat apabila mendakwa Rafizi mendedahkan salah laku tersebut.

“Umumnya, ia adalah pendakwaan yang dilakukan bermotifkan politik,” tambahnya lagi.

Surendran juga berkata, pihaknya juga mahukan sistem perundangan turut campur tangan dan tidak lagi bertoleransi terhadap sebarang cubaan untuk menggunakan sistem kehakiman demi kepentingan politik sesetengah pihak.

“Kami juga dengan ini menggesa (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) untuk menghentikan sebarang pertuduhan terhadap pembangkang menggunakan mahkamah,” tegasnya lagi.

Rafizi juga turut menambah permohonannya hari ini juga menunjukkan pembangkang tidak akan menuruti kehendak berkenaan.

Tegasnya, ia merupakan cubaan untuk menguji sistem perundangan Malaysia, berkata penolakan terhadap permohonannya itu akan membuktikan gambaran bahawa undang-undang negara ini akan menghukum mereka yang berani mendedahkan salah laku kerajaan.

“Ini bukan sekadar perbicaraan, ia juga adalah prinsip di sebalik pentadbiran keadilan yang mana masyarakat perlukan jaminan bahawa mereka yang tampil tidak akan dihukum.

“Itu sebabnya kami tampil ke Mahkamah Tinggi hari ini untuk mengetepikan dakwaan-dakwaan berkenaan,” katanya lagi.

Dakwaan di bawah akta tersebut menyebut bahawa Rafizi telah mendedahkan empat akaun profil pelanggan NFC — National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience and Industries Sdn Bhd dan pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail — kepada dua individu yang dikenal pasti sebagai Encik Yusuf Abdul Alim dan Encik Erle Martin Cavalho.

Di bawah Seksyen 103(1)(a) akta yang sama, Rafizi boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM3 juta dan dipenjara sehingga tiga tahun jika didapati bersalah.

Ini akan menjejaskan peluang Rafizi bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang yang harus diadakan menjelang April tahun depan, apabila mandat Barisan Nasional memerintah negara itu tamat.

Johari akan menghadapi hukuman sama jika disabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu akan bermula pada 10 September ini.

Rafizi adalah antara yang pertama mendedahkan skandal NFC itu dan sebelum ini menyifatkan siasatan ke atas beliau sebagai menunjukkan bahawa “pihak berkuasa tidak mengalu-alukan pemberi maklumat”.

Wang ikat jamin berjumlah RM15,000 dikenakan setiap seorang sebelum ini dengan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Pengarah Komunikasi PKR sebagai penjamin.

 

Loading...

MORE ELECTION STORIES

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.