Ramadan: Bulan Melatih Bersifat Amanah

Alhamdulillah, kita sekarang berada di bulan Ramadan yang mulia. Bulan ini, pelbagai pengajaran yang boleh kita capai antara yang paling besar ialah bulan ini mendidik kita menjadi hamba Allah yang amanah. Amanah merupakan sifat terpuji yang terlalu sukar untuk kita lihat dimiliki oleh masyarakat kita hari ini. Junjungan besar Baginda SAW dahulu digelar “al-Amin” kerana sikapnya yang amanah.

Dikatakan masyarakat Jahiliyyah Mekah dahulu akan menyerahkan barangan berharga mereka untuk dijaga oleh Baginda SAW, jika sekiranya mereka berhajat untuk bermusafir meninggalkan kota Mekah. Begitulah gambaran sifat amanah yang dimiliki oleh Baginda SAW sehingga tiada seorang pun orang kafir Quraisy yang mampu menandinginya.

Amanah Baginda SAW bukan sekadar terhadap kepada menjaga barangan, tetapi amanah Baginda dalam serba serbi termasuk harta yang bukan milik Baginda SAW. Saidina Abu Hurairah r.a pernah meriwayatkan "Kurma biasanya di bawa ke rumah Baginda SAW. Orang ramai membawa kurma mereka sehingga membukit kurma itu di rumah Rasulullah SAW. Suatu hari cucu Baginda Hassan dan Hussain bermain-main dengan buah kurma tersebut dan salah seorang dari mereka memasukkan ke dalam mulut mereka. Baginda SAW melihat ke arah mereka dan pergi mengeluarkan dari mulut dan berkata “tidakkah kamu tahu bahawa keturunan Muhammad tidak memakan barangan sedekah?”. (Bukhari)

Baginda SAW tahu bahawa kurma yang dikumpulkan di rumah Baginda SAW yang diberikan oleh orang ramai itu adalah berupa harta sedekah untuk diagihkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukannya. Ianya bukan harta Baginda SAW. Oleh itu walaupun sebiji kurma cuba dimakan oleh cucu kesayangan Baginda, Baginda tetap melarangnya dan mengeluarkan dari mulut cucu tersebut.

Inilah tahap amanah Baginda SAW terhadap harta rakyat, atau harta yang bukan milik Baginda SAW. Terlalu banyak untuk dikisahkan di sini peristiwa-peristiwa amanah Baginda SAW dan para Sahabah r.anhum. Cuma apa yang ingin kita tonjolkan di sini ialah betapa Baginda SAW dan para Sahabat serta salafussoleh merupakan mereka yang amanah. Bagaimana mereka memiliki sifat sedemikian?

Sifat amanah bukan boleh dibuat-buat tetapi ianya adalah buah kepada iman yang mantap dan kesedaran bahawa Allah sedang melihat setiap masa. Nah, kedatangan Ramadan ini adalah untuk memantapkan iman kita sehingga kita merasakan bahawa sepanjang masa Allah melihat kita. Sebab itulah ganjaran berpuasa ini hanya Allah sahaja yang akan membalasnya, buka gandaan 10 atau 700 kali seperti amalan lain, tetapi tiada had kerana cabaran bagi orang yang berpuasa ini cukup hebat.

Apabila orang berpuasa sendirian, beliau berpeluang untuk makan dan minum kerana tiada siapa pun yang melihatnya. Beliau boleh berpura-pura berpuasa tanpa siapapun mengetahuinya, namun beliau tidak berbuat demikian kerana sedar bahawa Allah melihatnya. Bahkan orang berpuasa begitu risau jika beliau mengorek hidung atau tertelan sisa makanan takut terbatal puasanya. Begitu tingginya sifat amanah orang yang berpuasa.

Namun persoalannya, kenapa amanah yang sama tidak diterjemahkan dalam kehidupan seharian kita. Kenapa rasuah, ponteng kerja, curi tulang, tipu tuntutan elaun kerja lebih masa dan seumpamanya semakin menjadi-jadi terutama di bulan puasa. Dikatakan ada kajian yang menunjukkan kadar rasuah meningkat di bulan puasa, kenapa?

Kenapa orang berpuasa sanggup memakan rasuah tetapi tidak sanggup memakan nasi  atau meminum air (secara senyap) yang boleh membatalkan puasanya? Ini menunjukkan kepada kita bahawa puasa kebanyakan dari kita hanyalah “puasa adat” iaitu puasa kerana tiba bulan Ramadan dan semua orang berpuasa lalu kita pun ikut sama berpuasa tetapi hakikat puasa belum benar-benar meresap ke dalam jiwa kita.

Sepatutnya apabila kita sanggup menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa kerana yakin bahawa Allah sedang melihat, kita juga harus menyedari bahawa Tuhan yang sama juga melihat kita dalam hal-hal lain.

Inilah yang dikatakan orang beriman itu “berpuasa dari perkara-perkara yang haram (muharramat)” tetapi kita orang awam berpuasa hanya menahan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga tenggelam matahari. Tetapi mereka tidak menahan diri dari perkara-perkara haram, masih terus memakan rasuah, makan harta rakyat dan harta pejabat, terus ponteng kerja, curi tulang,  dan bermacam-macam lagi perkara haram dilakukan di bulan puasa.

Oleh itu dengan kedatangan Ramadan ini, marilah sama-sama kita mempertingatkan tahap taqwa kita melalui sifat amanah agar kita menjadi hamba Allah yang benar-benar amanah yang menyeluruh dan bukan sekadar amanah dalam berpuasa sahaja dengan tidak makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa, tetapi juga amanah dengan harta-benda yang bukan milik kita, amanah dengan masa kerja kita, bahkan amanah dengan kehidupan ini kerana nyawa dan anggota tubuh badan yang kita perolehi hakikatnya adalah milik Allah belaka dan akan dipersoalkan di Padang Mahsyar kelak.

Wallahu’alam.