Advertisement

Ramadan, Sains Dan Mu'jizat A-Quran



Bulan Ramadhan istimewa kerana Nuzul-Al-Quran (penurunan Al-Quran) berlaku di dalamnya dan menurut sejarah, wahyu yang pertama sampai kepada Baginda pada 13 Ramadhan, 13 tahun sebelum Hijrah, ketika Nabi Muhammad SAW sedang berada di Gua Hira’.

Peristiwa ini sebenarnya teramat pentingnya kepada pembentukan identiti/proses kenal diri seorang muslim atau pun individu yang beragama Islam (Islam bermaksud tunduk kepada kehendak Allah SWT) itu.

Nuzul Al-Quran menandakan bermulanya tugasan Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai utusan terakhir Allah SWT kepada manusia (kita).  Perkara yang paling pokok yang perlu setiap kita ketahui ialah kita dicipta oleh satu kuasa yang Maha Agung, yang awal kewujudanNya tiada permulaan dan yang akhirNya tidak ada penghujung. 

Kuasa ini amat pemurah dan amat penyayang dan Ia hanya perlu menyatakan “jadi” dan menjadilah sesuatu itu.  Hakikatnya tanpa Al-Quran manusia tidak akan kenal akan kuasa ini iaitu Tuhan manusia dan Penguasa Seluruh Alam.

Walaupun semasa ia belum ditiupkan ke dalam jasad manusia, setiap roh (termasuk roh kita) telah pun mengakui bahawa Allah SWT itulah Penciptanya, namun seperti yang kita alami, dengan terlahirnya kita di dunia ini, berlakulah proses penghijaban sementara.

Di atas muka bumi seluruh dimensi kehidupan manusia merupakan seumpama madarasah/sekolah untuk manusia belajar (melalui ujian-ujian) dan menjejaki semula asal usulnya sebagai roh yang berada di dalam keadaan fitrahnya.  Inilah yang disambut dan diraikan semasa eid-al-fitr (pengembalian kepada keadaan/fitrah kita yang asal) di akhir ‘madrasah intensif’ bulan Ramadhan yang merupakan jangka waktu terfokus manusia mensucikan dirinya.

Di dalam bahasa Melayu ‘puasa’ berasal daripada bahasa Sanskrit upavasa yang bermaksud antara lainya menahan diri daripada makan dan minum demi mendekatkan diri kepada maha Pencipta.

Di dalam bahasa Arab ‘saum’ bermaksud ‘menahan’/’menghentikan’.  Contohnya menghentikan makan, minum dan beberapa kehendak/nafsu yang lain yang pada waktu biasanya tiada larangan seperti di bulan puasa untuk manusia memenuhinya.  Penahanan juga adalah terhadap, atau di dalam konteks perkataan, perbuatan mahupun niat dan fikiran yang mengarah kepada, atau yang bersifat, mungkar dan yang dilarang.

Saum secara idealnya mendidik/membiasakan manusia untuk menahan dirinya daripada kehendaknya sendiri kepada ‘kehendak Tuhan’ atau yang lebih baik lagi, agar apa yang manusia sendiri kehendaki itu biarlah sejajar dengan apa yang diinginkan Tuhan.  Prinsip ini adalah seperti yang diajar oleh Al-Quran iaitu manusia mempunyai perancangan dan Allah SWT juga mempunyai perancangan, namun sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah SWT.

Puasa atau saum adalah ibadah yang diajarkan di dalam Al-Quran (Surah Al-Baqarah 183-185) dan “Al-Quran” (yang di antara lain bermaksud “yang dibaca”; pengajaran bagi manusia), kita perlu sentiasa ingat, adalah ‘ijaz atau mu’jizat Nabi Muhammad SAW yang paling besar/signifikan.

Kalau Nabi-nabi sebelumnya diberi mu’jizat seperti, mencelikkan orang buta (Nabi Isa AS), memahami bahasa haiwan dan jinn (Nabi Sulaiman AS), menukarkan tongkat menjadi ular (Nabi Musa AS) dan lain-lain lagi bagi para nabi dan anbiya selainnya seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran tersebut, maka bagi Nabi Muhammad SAW diberikan Al-Quran yang terkandung di dalamnya butir-butir sejarah manusia yang hidup sebelum zaman beliau (daripada Adam sehinggalah Isa) dan juga perkara-perkara semasa zaman Baginda sendiri yang seperti kata-kata Al-Quran sendiri tidak akan manusia ketahui dengan ilmunya sendiri. 

Begitulah seterusnya Al-Quran membutirkan perkara-perkara yang hanya diketahui selepas zaman beliau, yakni belum diketahui oleh manusia semasa zaman Baginda sendiri dan hal ini merupakan mu’jizat dan tanda keluarbiasaan kenabian dan kerasulannya Baginda dan mukjizat Al-Quran diberikan oleh Allah SWT sebagai tanda kebenaran mesejNya kepada bagi manusia (kita).  Hal ini amat genting difahami hari ini di mana pola pemikiran manusia banyak dipengaruhi oleh kebendaan dan kurang percaya kepada perkara yang ghaib. 

Selepas zaman Baginda dan di antara hal yang hanya dalam masa 100-200 kebelakangan ini sahaja (Al-Quran diturunkan lebih 1400 yang lalu) termasuklah fenomena-fenomena dan penemuan-penemuan di dalam bidang sains dan teknologi. 

Di kalangan para pengkaji ada yang menyatakan bahawa ada lebih 500 ayat yang menggambarkan tentang subjek sains dan teknologi di dalam Al-Quran, iaitu melebihi bilangan ayat-ayat dalam bidang-bidang ilmu kontemporari yang lain; dan yang menakjubkan lagi ialah Surah al-‘Alaq yang merupakan yang mula-mula sekali diturunkan, sebenarnya boleh dilihat sebagai yang menceritkan fenomena embriologi di samping menceritakan asal usul manusia sebagai organism yang hidup berjasad.

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah, Bacalah dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajar manusia apa yang ia tidak diketahuinya”.  (al-‘Alaq (96): 1-5).

Penciptaan manusia secara biologinya hanya diketahui oleh ahli embriologi sekitar 150 tahun yang lalu, namun mu’jizat dan kelebihan wahyu yang disampaikan melalui Jibril kepada Rasulullah SAW telah pun menyatakan hal tersebut lebih 1400 tahun yang lalu.

Seterusnya surah ini mengingatkan bahawasanya Allah SWT lah yang memberi manusia segala ilmu (termasuk ilmu sains) dan bukannya manusia memperoleh ilmu tersebut dengan sendirinya dan di dalam surah yang sama dinyatakan Allah telah mengetahui jua di dalam ilmuNya bahawa tetap akan ada manusia yang melampaui batas, yang melihat “dirinya sudah cukup dengan apa yang dihajatinya”.

Seterusnya Allah menerangkan betapa jelas akan dapat kita lihat ada orang yang melakukan keburukan mahupun keingkaran, walaupun jelas perbezaan di antara kedua perkara tersebut.

Dalam konteks sains dan teknologi peringatan ini amat penting kerana tanpa bimbingan prinsip-prinsip syariat seperti yang ternyata di dalam Maqasid Shariah misalnya manusia boleh terpesong, lalai dan alpa dengan sekian banyak teknologi yang Allah telah anugerahi kepada kita hari ini (lihat sahaja penyalahgunaan facebook, tenaga nuklear, ilmu kimia dan lain-lain lagi). 

Maka ayat ke 14-15 surah al-‘Alaq mengingatkan kita kembali bahawa, sesungguhnya Allah melihat segala amal perbuatan kita dan akan membalas amal perbuatan tersebut, oleh itu janganlah kita sekali-kali menderhakai Allah SWT kerana sekiranya kita melakukan yang sedemikian nescaya “Kami akan menyentap ubun-ubunnya orang yang berdusta dan bersalah tersebut” surah al-‘Alaq ini menyatakan lagi.

Ibadat puasa amatlah signifikan kerana ia kemuncak penyaksian kita kepada fenomena dan realiti sebenar “Allah melihat” segala yang kita lakukan.  Di samping itu juga Ramadhan memperingatkan kita tentang Nuzul Al-Quran yang pertama yang sekali gus mengingatkan kita asal usul kita, siapa yang mengajar kita dan bagaimana kita diajar dan yang paling asas setelah mengetahui janganlah kita menderhaka dan melanggari fitrah kita sendiri.

Semoga penghayatan Ramadhan kita lebih bermakna lagi.