Ramayana – Bahagian 45

Ramayana – Bahagian 45

Perutusan segera dihantar kepada Raja Dasaratha di Ayodhya untuk mengkhabarkan perkembangan terkini di Mithilapuri. Raja keturunan Raghu Vamsa itu sedikit terkejut pada mulanya.

"Bukankah Maharishi Vishwamitra membawa Rama dan Laksamana ke ashram (asrama) di hutan untuk memberikan perlindungan bagi upacara pemujaan khas? Bagaimana pula mereka boleh sampai ke Mithilapuri, mengambil bahagian dalam swayamvara (sayembara) dan Rama pula bakal berkahwin dengan Sita?"

Demikian Dasaratha tertanya-tanya apabila menerima perutusan sewaktu sedang bersiar-siar di tebing Sungai Saryu. Namun, baginda masih terasa amat gembira dengan berita yang diterima.

Dasaratha segera mengumpulkan Permaisuri Kausalya, Kaikeyi dan Sumitra, serta Bharata dan Shatrughana. Kandungan perutusan yang diterima disampaikan kepada mereka.

"Oh!Berita yang amat menggembirakan," sahut Kausalya.

"Ya, memang sesuailah anak-anak kita berkahwin pada usia sekarang," kata Kaikeyi sambil menjeling ke arah Bharata dan Shatrughana yang tersipu-sipu.

Tanpa berlengah-lengah, Dasaratha membuat persiapan untuk berangkat ke Mithilapuri. Bharata dan Shatrughana diminta turut serta. Ketiga-tiga permaisuri dinasihatkan kekal di Ayodhya.

"Apabila anak dan menantu kita datang nanti, kamu bertiga harus berada di sini untuk menyambut mereka," kata Dasaratha sebelum menoleh ke arah Manthra.

"Sebagai ketua pengasuh diraja, beta berharap kau akan membantu membuat segala persiapan yang perlu bagi menyambut kedatangan Rama dan Sita," tambah raja itu.

Manthra, si wanita tua yang bongkok itu mengangguk tanpa kata. Sejak kelahiran Rama, Bharata, Laksamana dan Shatrughana, dialah yang menjadi ketua pengasuh di istana.

"Bayangkan! Kini Rama akan berkahwin. Pasti adik-beradiknya yang lain juga akan segera berkahwin," fikir Manthra sambil terkenang zaman kanak-kanak empat putera berkenaan.

Sementara itu, Dasaratha sudah mengumpulkan sejumlah menteri dan pembesar untuk menyertai rombongan ke Mithilapuri. Perutusan turut dihantar kepada Maharishi Vasishta dan Maharishi Shringi. Bagaimanapun, hanya Vasishta yang mengesahkan kehadiran.

Maka berangkatlah rombongan Dasaratha menuju ke Mithilapuri. Sepanjang perjalanan, berita perkahwinan Rama dan Sita dikhabarkan kepada orang ramai.

Para penduduk pula melonjak kegembiraan mendengarkan perkhabaran itu. Masing-masing mula membuat perancangan untuk menyambut kedatangan Rama dan Sita sebagai suami-isteri dalam masa terdekat.

"Habislah peluang kita untuk meluangkan masa bersama-sama mereka," kata seorang gadis kepada rakannya.

"Usah risau, wahai gadis rupawan," kata Bharata yang terdengar kata-kata itu. "Kami bertiga masih ada untuk memenuhi permintaan kamu."

Dasaratha hanya tersenyum mendengar dialog itu. Baginda sedar bahawa sebagai putera, anak-anaknya pasti menjadi kegilaan dan rebutan ramai. Baginda juga sedar bahawa para puteranya tidak boleh dihalang daripada bermesra dengan gadis tempatan.

"Rama akan berkahwin dengan puteri Raja Janaka. Bharata, Laksamana dan Shatrughana juga perlu segera dikahwinkan supaya mereka dapat turut menjadi lebih bertanggungjawab," fikir Dasaratha dalam hati.

Apabila sampai di Mithilapuri, suatu kejutan menanti Dasaratha. Janaka memaklumkan bahawa sementara Rama bakal berkahwin dengan Sita, Laksamana pula sudah jatuh cinta dengan adiknya, Urmila.

"Hubungan mereka berdua sudah terlalu intim. Sebelum timbul apa-apa masalah dan sebelum orang luar tahu apa yang sudah berlaku, eloklah Laksamana dan Urmila dikahwinkan," kata Janaka dengan tegas kepada Dasaratha.

Raja Ayodhya itu memandang ke arah Laksamana. Putera itu hanya diam sambil tertunduk. Sesungguhnya dia tidak menyangka bahawa hubungan mesra dengan Urmila akan melampaui batas sehingga mereka terpaksa dikahwinkan serta-merta. – 15 Disember, 2013.

* Bersambung minggu hadapan.