RCI tidak akan membuahkan hasil, kata Dr M

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, pembentukan Suruhanjaya Inkuiri Diraja (RCI) berkenaan pemberian kerakyatan kepada warga asing di Sabah tidak akan memberikan sebarang perubahan yang akan menyelesaikan masalah berkenaan.

Menurut bekas perdana menteri itu lagi, pembentukan RCI itu juga hanya akan merumitkan keadaan kerana ia akan menjurus kepada perkara lain dan tidak fokus kepada membincangkan permasalahan.

“RCI ini tidak akan hasilkan apa-apa yang boleh selesaikan masalah. Bila ada RCI nanti ia akan bawa kepada perkara lain,” kata bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini.

Pembangkang sebelum ini pernah menuduh Dr Mahathir menjadi dalang untuk membawa masuk warga asing berkenaan ke Sabah dan diberikan kerakyatan bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya.

“Saya dituduh kononnya bawa mereka (pendatang asing) ini (masuk ke Sabah) ... kita tak perlu buat begitu, mereka yang akan datang sendiri.

“Dulu mereka boleh datang ulang-alik ke situ. Mereka bukanlah asing sangat dengan Sabah, mereka ini sudah sekian lama berulang-alik ke Filipina dan Sabah, mungkin mereka rasa Sabah lebih selamat,  sebab itu mereka tinggal di sana,” kata Dr Mahathir kepada pemberita hari ini ketika sidang media.

Jelas pemimpin yang masih berpengaruh ini lagi, ada antara pendatang asing itu telah menetap lebih 10 tahun di Sabah dan berhak mendapat kerakyatan.

“Ada antara mereka pernah menetap selama lebih 12 tahun, di Sabah. Ikut undang-undang kita, lebih 10 tahun mereka di negara ini, mereka berhak mendapat kerakyatan.

“Kalau kerajaan kita nak beri (kerakyatan), kita boleh beri, tapi kalau tidak tak mengapa, namun mereka memang berhak,” katanya lagi.

Malah, jelas Dr Mahathir, semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau pernah mengarahkan warga asing berkenaan di hantar pulang ke negara mereka, namun ia hanyalah tindakan sia-sia kerana mereka akan kembali semula ke Sabah.

“Dulu kita sudah hantar balik, tapi mereka datang balik ke Sabah.“

United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation” (UPKO) dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu menyatakan bahawa Dr Mahathir — disalahkan oleh pembangkang di atas peningkatan populasi mendadak di Sabah telah keliru antara warganegara asing yang dibenarkan dan pendatang tanpa izin.

Najib sebelum ini telah mengumumkan akan mengadakan RCI pada 1 Jun namun dihentikan selepas pendedahan berkenaan maklumat panel dan terma rujukan.

Isu ini telah berlanjutan di media sejak enam bulan lalu bermula Febuari lepas apabila pemimpin Barisan Nasioanal (BN) Sabah Tan Sri Bernard Dompok mengumumkan keputusan Kabinet berkenaan RCI tersebut.

Peningkatan populasi secara mendadak di Sabah telah sekian lama menjadi duri dalam daging kerajaan BN dan seringkali dipersalahkan atas peningkatan gejala sosial, ekonomi, masalah keselamatan yang dirasai penduduk di sana.

Berdasarkan jawapan di Parlimen tahun lalu, populasi di Sabah berada pada 651,304 ketika 1970 dan meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian. Namun dalam tempoh dua dekad berikut, pada 1980, populasi negeri terseut meningkat secara mendadak kepada 1.5 juta penduduk, mencecah hampir  2,468,246 menjelang 2000.

Media melaporkan pada 2010, angka berkenaan meningkat kepada  3.12 juta, dengan warga asing merangkumi 27 peratus atau  889,799 daripada populasi.

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.