Advertisement

‘Revolusi ambang tahun baru’ usaha Putrajaya, media alih perhatian rakyat, kata pengkritik

Apakah benar-benar wujud rancangan menggulingkan kerajaan pada ambang tahun baru melalui perhimpunan menentang kenaikan harga barang, atau ia merupakan tindakan kerajaan dan media sekutu dalam mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar?

The Malaysian Insider difahamkan, agensi-agensi keselamatan sudah mengadakan taklimat berhubung perkara itu, dan pemerhati melihatnya sebagai tindakan terdesak Putrajaya mengalih perhatian dari isu salah urus pentadbiran negara dan janji pilihan raya yang tidak ditepati.

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan penganalisis politik bersetuju rakyat Malaysia mempunyai hak menyuarakan bantahan berhubung kenaikan harga barang dan pemotongan subsidi. Mereka menambah, tindakan media milik Umno Utusan Malaysia yang menggambarkannya sebagai sebuah revolusi akan menyemai kebencian dalam negara.

“Sebelum pilihan raya umum, kerajaan berjanji harga barang tidak akan naik akan tetapi selepas pilihan raya pada Mei, mereka kelihatan mahu mengubah janji mereka,” kata Dr Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sabah kepada The Malaysian Insider.

“Jadi apabila rakyat bawahan berkumpulan untuk menyuarakan bantahan mereka, ia tidak seharusnya dilihat sebagai percubaan untuk menggulingkan kerajaan,” tambahnya.

Menurut Arnold, Putrajaya perlu mendengar kegelisahan rakyat dengan mengadakan dialog untuk menjelaskan mengapa subsidi perlu dipotong dan harga barang dinaikkan.

Bermula September, subsidi minyak dan gula dipotong, dan berkuatkuasa bulan depan, tarif elektrik dinaikkan manakala kadar harga tol dicadang dinaikkan pada 2014.

Ini ditambah pula dengan pengumuman Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6%, berkuatkuasa pada April 2015, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menyelar tindakan mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar yang dilakukan media arus perdana.

“Ini bukan sahaja percubaan untuk mengalih perhatian rakyat dari isu sebenar akan tetapi untuk menyemai kebencian kepada pembangkang,” katanya.

Menurut Rafizi, beliau tidak terkejut dengan tuduhan Utusan Malaysia dan TV3 kerana perkara sama dilakukan semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka awal tahun ini, apabila media Umno mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seks songsang.

Tetapi ahli Parlimen Pandan itu tidak merasakan rakyat akan termakan dengan percubaan mengalihkan perhatian itu kerana kenaikan kos sara hidup merupakan isu yang menghambat kehidupan mereka.

Awal minggu ini, polis menahan pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar, selepas seorang pengguna Facebook memberikan komen kononnya akan berlaku rusuhan pada malam ambang tahun baru.

Laporan polis dibuat Rabu lalu tentang kemungkinan percubaan menggulingkan kerajaan selepas tersebarnya banner dan poster di media sosial mendesak orang ramai hadir pada 31 Disember di perhimpunan yang digelar Himpunan Guling Kerajaan. Akan tetapi, ia tidak mengatakan siapa penganjurnya.

Akhbar milik Umno Utusan Malaysia telah memberikan liputan meluas tentang Himpunan Guling Kerajaan.

Menyifatkannya “sangat keji” dan “tidak bertanggungjawab”, ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata sudah tidak syak lagi media milik Umno dan Barisan Nasional cuba mengelirukan orang ramai tentang bantahan kenaikan harga barang.

“Isu kenaikan kos sara hidup adalah isu melibatkan rakyat sehingga menyebabkan ahli Parlimen BN dan NGO mesra-Umno membangkitkan kebimbangan.

“Mengatakan ianya sebagai percubaan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik bukanlah cara kami dan jelas merupakan percubaan untuk mengelirukan,” katanya.

Bagi, setiausaha pengelola DAP Anthony Loke, ia merupakan cerita rekaan semata-mata.

“Tiada sesiapa yang percaya dengan dakwaan ini,” katanya, dan menambah kempen membantah kenaikan harga barang dilakukan kerana kekecewaan dengan kenaikan harga barang dan tidak kena mengena dengan percubaan menggulingkan kerajaan. – 27 Disember, 2013.