Advertisement

Sandwich Grill, Daging Gebu Membuka Selera


Menu biasa juadah berbuka puasa rakyat Malaysia pastinya ayam percik, murtabak, roti John, kuih muih dan banyak lagi. Pendek kata, mahu makan apa saja di negara ini memang mudah ditambah pula ketika bulan puasa.

Selain menu yang disebutkan tadi, apa kata kita cari sedikit kelainan dengan cuba ‘memburu’ makanan yang jarang-jarang kita dapat makan ataupun sukar memperolehinya disebabkan lokasi terhad. Pemburuan Yahoo! kali ini sekali lagi berakhir di bazar Ramadan Bangsar berdekatan Jalan Maarof yang mempunyai keunikannya tersendiri.

Di tengah-tengah bazar tersebut, orang ramai akan mendapati sebuah gerai Grill Sandwich Bangsar yang menyediakan hidangan berbuka ala barat dengan sandwicnya yang unik yang telah di’Malaysia’kan. Sekali-sekala mencuba sandwic ketika berbuka dan mengelakkan nasi mungkin banyak membantu mengurangkan berat badan juga.

Gerai Sandwich Grill Bangsar menyediakan sandwic yang segar jadi mereka hanya menyediakan sandwic selepas mendapat permintaan dan bukan dijual segera. Cara demikian tentulah menjadikan sandwic lebih sedap dimakan.

Terdapat tiga jenis sandwic iaitu ayam, daging atau kambing yang kesemuanya dibuat sendiri pemilik gerai dan diperam untuk tempoh tertentu sebelum dipanggang. Pilih jenis sandwic dan juga roti tetapi roti yang ‘best’ tentulah tortilla! Ia akan dipanggang dalam masa 4-5 minit dan anda sudah boleh menikmati aroma bau panggang yang membangkitkan selera (makruh pula nanti!)

Kalau tidak mahu masak penuh, pastikan ia dimasak separuh. Boleh dikatakan kesemua sandwic dari daging hingga kambing memang sedap, maklumlah, bukan jenis makanan sejuk beku biasa di pasaran.

Ayam, daging atau kambing dimasak akan diletakkan di atas roti yang sudah disediakan dengan sayuran biasa seperti dalam burger, kemudian sos cili, tomato, mayonis dan mustard terus dituang di atas daging yang jusnya masih meleleh, enak sungguh!

Anda boleh ‘upgrade’ sandwic kepada ‘special’ untuk menambah keju dalam bersama isinya. Harga sandwic bermula RM6 hingga RM12 dan pastinya ia berbaloi kerana isinya banyak dan tebal.

Selamat berbuka!