Sang Saka Malaya: Sasterawan negara bagi kerjasama jika polis sopan

Sang Saka Malaya: Sasterawan negara bagi kerjasama jika polis sopan

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (gambar) berkata, beliau tidak akan memberikan kerjasama terhadap siasatan berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke 56, melainkan jika dihubungi polis secara bermaruah.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendesak Samad menyerah diri bagi membantu siasatan sebelum polis membuat tangkapan.

Khalid berkata, jika Samad berani mencabar undang-undang, maka beliau juga perlu berani ke depan untuk berhadapan dengan tindakan polis.

“Sasterawan Negara wajar dilayan secara sopan. Bukan dikerah dari tepi jalan,” kata Samad dalam teks pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider.

Awal hari ini Samad menafikan beliau bersembunyi daripada polis berhubung isu kibaran bendera Sang Saka Malaya itu.

"Saya tidak tahu hal itu, dan saya juga tidak lari. Malah saya sebentar tadi sebelum datang ke perjumpaan Yayasan Usman saya singgah ke KLCC, tidak ada apa yang berlaku saya tidak ditahan atau cuba bersembunyi.

“Tidak, tidak ada yang salah dengan bendera itu ,saya tidak tahu mengapa mereka begitu tergugat,” katanya.

Semalam, dua aktivis, Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka sebelum dibebaskan awal pagi ini.

Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur semalam untuk disoal siasat mengikut akta itu.

Perbuatan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya itu tersebar dalam laman sosial Youtube.

Berlaku ketegangan apabila kelibat seorang pemuda yang menjerit kepada kumpulan tersebut berkata "Itu bendera Malaysia."

Selain itu, tiga badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung insiden mengibarkan bendera itu.

Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul manakala Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menggesa polis mengenakan tindakan tegas di bawah Akta Hasutan terhadap kumpulan yang mengibarkan Sang Saka Malaya. – 3 September, 2013.