Advertisement

Sektor ekonomi perlu tumpuan Najib selepas pilihan raya

Oleh Zurairi AR

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak akan menghadapi masalah ekonomi yang serius akibat daripada eksport yang semakin melemah selepas memenangi Pilihan Raya 2013, lapor Financial Times hari ini.

Berikutan kekhuatiran kelembapan pasaran Asia, akhbar perniagaan itu menjelaskan penurunan mungkin memberikan kesan terhadap harapan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan melepasi "perangkap pendapatan pertengahan."

"Gambaran umum (terhasil daripada data ekonomi) menunjukkan Asia semakin perlahan dan eksportnya juga perlahan," kata Danial Martin, pakar ekonomi Asia, di Capital Economics Singapura berkata kepada Financial Times.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia minggu lalu merekodkan 4.1 peratus pada suku pertama berbanding tempoh sama tahun lalu. Ia adalah fasa paling perlahan sejak suku ketiga 2009, dan lebih rendah 5.5 peratus dijangka pakar ekonomi.

Sementara itu, eksport turut menunjukkan penurunan 0.9 peratus dalam 12 bulan menjelang Mac tahun ini, dengan eksport jentera dan kelengkapan pengangkutan menurun kepada 2.1 peratus bagi tempoh sama.

Jumlah pegangan untuk jentera dan pengangkutan dalam jumlah keseluruhan eksport jatuh daripada keseluruhan 63 peratus awal dekad ini kepada 38 peratus pada Mac.

Ia berkemungkinan disebabkan kesan krisis global pada 2008 apabila jumlah eksport Malaysia kepada Amerika Syarikat jatuh lebih daripada separuh pada Ogos 2006 kepada paras terendah pada Februari 2009. Jentera membentuk hampir 60 peratus eksport Malaysia ke AS.

Kejatuhan eksport jentera mungkin menyebabkan Malaysia ketinggalan dan terperangkap dalam perangkap pendapatan pertengahan, dan Bank Pembangunan Asia telah memberi amaran kegagalan menguruskan buruh murah dan hasil semulajadi kepada penghasilan dan eksport lebih banyak produk teknologi maju.

Malaysia masih lagi gagal menguruskan kelemahan eksport dengan sektor perkhidmatan, berbanding Hong Kong dan Singapura yang telah mencecah negara berpendapatan tinggi melalui sektor perkhidmatan.

"Dengan negara membangun lain sedang berebut menikmati manfaat perkhidmatan globalisasi, Malaysia masih tidak mengambil kesempatan dalam perkara itu," kata kertas kerja disediakan Bank Dunia bulan lalu dengan tajuk,"Bagaimana Mahu Mengelakkan Perangkap Pendapatan Sederhana? Bukti dari Malaysia.

Pakar ekonomi turut memberi amaran permintaan domestik, yang digelar tulang belakang ekonomi rantau ini sejak 2008, juga menunjukkan kelembapan.

Ia turut menimbulkan kebimbangan untuk Malaysia, yang mana perkembangannya dipacu oleh permintaan domestik, yang meningkat 8.2 peratus tahun demi tahun berbanding 7.8 peratus pada suku terakhir.

Pakar ekonomi bimbang dan menggesa Najib untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) walaupun tidak diterima pengundi.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata Malaysia masih boleh menurunkan kadar subsidi secara berperingkat, namun memberi amaran kepada kerajaan supaya mengikut janji yang dibuat ketika Bajet untuk Pilihan Raya 2013.