Oleh Ida Lim
KUALA LUMPUR, 10 Julai — Datuk Chua Tee Yong hari ini mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor telah terlebih bayar sebanyak RM28.3 juta kepada Talam Corporation terhadap harga empat plot tanah — dikatakan ditenggelami air.
Dia merujuk kepada 134.34 ekar tanah di Danau Putra yang dikatakan beliau telah dibayar oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) itu dengan harga RM87.7 juta ringgit (RM15 sekaki) pada 12 Mac, 2010.
“Kenapa kerajaan negeri Selangor membeli tanah yang 80 peratusnya ditenggelami air dan lebih dari RM50 juta sebelum tanah itu dibangunkan?” kata Chua dengan membandingkan dengan harga semasa.
Dia berkata salah satu dari plot tanah itu berharga RM43.3 juta walaupun sebenarnya harga asal 6 bulan sebelum lelongan bernilai RM15 juta.
Chua berkata Selangor telah membayar dengan harga yang lebih tinggi dalam RM28 juta, dengan membandingkan harga yang dibeli dengan harga lelongan tersebut, yang beliau dakwa ditenggelami air.
Dia juga mempersoalkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkenaan dengan pembelian tanah bernilai RM57 juta itu dikala harganya sedang menurun.
Chua yang merupakan Ahli Parlimen Labis berkata, dia merujuk transaksi terakhir untuk pembelian 66.35 ekar tanah yang dilelong itu (RM5.20 sekaki persegi) untuk menentukan harga lagi tiga plot tanah yang dibeli.
Chua menunjukkan dokumen berkenaan harga yang dibeli berdasarkan “andaian” yang tiga plot tanah yang dilelong itu bernilai RM5.20 sekaki persegi, menunjukkan harga sebenarnya RM29 juta lebih murah dari harga yang dibeli iaitu RM44.4 juta.
“Ada begitu banyak sekali persoalan dalam urusniaga Talam ini.
“Kita tidak ada jawapan dan kita mahu agar kerajaan negeri Selangor menjawab persoalan ini.
“Kita tidak ada jawapan untuk ini,” kata Chua.
“Kenapa tiada wakil dari DAP tampil ke hadapan untuk respon persoalan ini?” katanya lagi, selepas Tony Pua dari DAP menjawab bahawa sebenarnya kerajaan negeri mengutip hutang dari Talam dan bukannya membayar hutang-hutang Talam.
Chua juga berkata harga pembelian yang meragukan itu adalah sebahagian dari pembelian aset-aset Talam yang bernilai RM676 juta daripada kerajaan negeri Selangor.
Beliau juga mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor telah menggunakan dana rakyat sebanyak RM1 billion untuk membeli dan membayar hutang-hutang Talam, kemudian menukar kenyataan tentang kerajaan negeri terlebih bayar RM42 juta dalam pembelian tanah.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu menyaman Chua dan Trinity Corporation (nama baru Talam). Dan menuntut Chua untuk mengemukakan tuduhan beliau tentang penggunaan wang rakyat sebanyak RM1 billion.

