Selepas ditekan, Jawi, Jakim siasat Kassim Ahmad

Jawatankuasa Fatwa Terengganu putuskan Kassim Ahmad kufur dan murtad

Selepas ditekan pelbagai pihak, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan atas ucapan kontroversi Dr Kassim Ahmad dalam satu seminar minggu lepas yang dirasmikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka sedang menyiasat kes tersebut dan mengenalpasti saksi yang menghadiri seminar bertajuk, "The Thoughts of Kassim Ahmad: A Review" yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana.

"Saya menasihatkan orang awam, terutamanya yang Muslim, untuk percaya pada pihak berkuasa dalam menangani isu ini. Dinasihati juga supaya berhenti melakukan apa-apa provokasi bagi mengelak gangguan harmoni dalam negara," kata Paimuzi dipetik dari agensi berita nasional, Bernama.

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini disarankan tampil kepada bahagian penguatkuasaan Jawi bagi membantu siasatan.

Dalam seminar pada Ahad, Kassim dilaporkan menuduh para ulama mengawal Islam di Malaysia menggunakan sistem 'kasta paderi', menyoal penggunaan Hadis dalam menjelaskan ajaran Al-Quran dan mengatakan salah bagi orang Muslim untuk mendewakan Nabi Muhammad kerana "beliau hanya pesuruh Allah".

Kassim juga mempersoalkan pemakaian tudung oleh wanita Islam, mengatakan "rambut bukannya sebahagian daripada aurat" dalam ceramahnya yang bertajuk, "Hala Tuju Malaysia dalam masa 30 Tahun".

Di Putrajaya, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha, berkata Jakim dan Jawi akan mengadakan mesyuarat dengan Kassim untuk mendapat maklum balas berhubung kenyataan kontroversinya.

Beliau berkata, pandangan Kassim bercanggah dengan prinsip Islam dan ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan masyarakat Islam di Malaysia.

Othman berkata, Jakim juga menggesa Jawi untuk mengambil tindakan atas undang-undang yang sedia ada dan bekerjasama dengan jabatan agama lain dalam mengawal isu kontroversi seperti ini.

Sementara itu di Ipoh, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihati Kassim dan orang Islam yang setuju dengannya untuk bertaubat kerana pandangan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam dan menjejaskan akidah mereka.

Beliau berkata, Kassim bukannya pakar untuk membincangkan undang-undang Islam dalam Al-Quran kerana kekurangan ilmu dalam bahasa Arab dan Fikah (perundangan Islam), perkara yang penting dalam membuat undang-undang Islam, dan Kassim hanya menggunakan bahasa mudah dan lojik.

Harussani berkata, mempersoalkan syahadah sama seperti murtad, manakala menolak Hadis juga bertentangan dengan ajaran Islam kerana Nabi Muhammad bukannya menulis Hadis dengan pendapatnya sendiri, tetapi semua Hadis merupakan riwayat yang disampaikan kepada Nabi Muhammad melalui malaikat Jibril.

Beliau juga berkata mempersoalkan selawat juga becanggah dengan perintah Allah seperti dalam Al-Quran dalam ayat 56 surah Al-Ahzab.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mempertahankan Kassim dengan mengatakan banyak pihak tidak memahami intelektual Melayu yang pernah menjadi presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) itu. – 19 Februari, 2014.