Advertisement

Selepas PRU13, Najib harus bertindak cepat sebelum tersungkur

Months after GE13, Najib needs to get into gear

Bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertahan 10 bulan lalu?

Satu demi satu “malapetaka” menimpa selepas beliau mengetuai Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang menyaksikan keputusan terburuk gabungan pemerintah itu dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Ini dapat dilihat dalam isu seperti politik, agama kaum dan ekonomi selepas PRU13.

Kajian terbaru menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia berputus asa dengan kenaikan kos kehidupan dan mula yakin pemimpin negara tidak pandai menguruskan ekonomi dan tidak mempunyai rancangan untuk negara.

Lebih buruk lagi, apabila Najib perlu membuat keputusan tegas untuk kebaikan majoriti rakyat, beliau selalu membuat pilihan yang salah.

Contohnya keputusan untuk “mengkaji semula” skim Permit Import (AP) kenderaan merupakan keputusan politik dilakukan pada saat akhir oleh pemimpin yang lebih risaukan kemarahan 98 pemegang AP berbanding menamatkan skim cepat kaya yang menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit.

Di sebalik menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah, perdana menteri tidak menunjukkan kepimpinannya, pada masa sama membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan untuk menyuntik ketakutan dan ancaman dalam perdebatan itu.

Keputusan akhir: Penganut Kristian tidak gembira. Penganut Islam tidak gembira. Dan seluruh negara tertanya-tanya sejak bila Malaysia tidak mempunyai kepimpinan?

Bukti menunjukkan pengkritik bukan lagi dari kelas menengah atau kelas penerima BR1M (mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah).

Keluarga Diraja, ahli perniagaan dan ahli politik turut tertanya-tanya apa yang sudah jadi kepada Najib.

Mereka tidak faham bagaimana seseorang yang sudah dilatih selama 30 tahun sebelum memegang jawatan itu, dikelilingi ramai penasihat/perunding/pegawai khas mempunyai masalah seperti ini. Malaysia menuju ke arah biasa-biasa sahaja, tidak bertoleransi, ekstremisme dan tidak berdaya.

Lagipun, beliau menang pilihan raya umum dan menjadi lebih kuat, sekurang-kurangnya secara teori, selepas pemilihan Umno. Tetapi menghairankan, Putrajaya menjadi semakin lumpuh. Ramai pengkritik menyuarakan kekecewaan mereka terhadap Najib semasa makan malam atau sesi teh tarik.

Kumpulan seperti Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) bertindak lebih daripada itu. Mereka akan turun ke jalan raya bagi membantah sistem penilaian pelajar kontroversi diperkenalkan kerajaan.

Kerajaan berkata akan mengkaji semula sistem itu akan tetapi mereka mahu ianya dimansuhkan.

Dalam berdepan dengan kerajaan, SGMM menunjukkan trend baru: kesediaan individu dan kumpulan untuk mencabar kerajaan yang dilihat sebagai lemah, ragu-ragu dan kadangkala berada dalam kekeliruan.

Kumpulan ketiga (ini termasuk ahli politik veteran Umno dan bekas pekerja kerajaan) sudah mula beratur panjang untuk bertemu dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran Najib untuk memotong subsidi beberapa kali, sesetangah pelawat turut memberikan taklimat kepada Dr Mahathir tentang suhu politik akar umbi, dengan sesetengahnya membawa bukti BN akan mendapat keputusan lebih buruk daripada PRU13.

Mereka memberikan gambaran mengerikan kepada Dr Mahathir jika perlu.

Bekas perdana menteri itu sudah menjadi pengkritik utama kepada Najib sejak kebelakangan ini, menyelarnya kerana bergantung kepada BR1M dan kerana mahukan stuatus quo dalam perebutan jawatan naib presiden Umno.

Najib dianggap menjadi sebab mengapa anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir gagal menjadi naib presiden.

Masih belum jelas apakah Dr Mahathir mempunyai rancangan untuk melancarkan kempen untuk menolak Najib tetapi mereka yang bertemunya pulang dengan yakin bekas perdana menteri itu percaya Najib dan BN sudah berada dalam kesesatan.

Lebih parah lagi tiada sesiapa yang dilihat mengambil tanggungjawab dalam pembuatan keputusan yang waras berkaitan ekonomi. Semuanya kelihatan huru-hara.

Dan apabila keputusan dibuat, ia tidak diterangkan dengan baik atau dipertahankan mati-matian menyebabkan berlakunya banyak keputusan “flip-fliop.”

Sesetengah menteri kanan Umno tahu terdapat kemalasan yang menghantui Putrajaya, kemalasan daripada segi tiada post-mortem tentang pencapaian BN dalam PRU13 dilakukan secara terperinci sehingga hari ini.

Secara peribadinya, mereka juga percaya Najib perlu bercakap di hadapan rakyat lebih kerap dan pentadbirannya berhadapan dengan kesukaran untuk melawan perang persepsi.

Lebih menarik lagi, kebanyakan daripada mereka menyalahkan penasihat Najib dan isterinya kerana hilang fokus, menyebabkan perdana menteri dan mereka dikritik kerana polisi buruk.

Mereka masih yakin Najib merupakan orang terbaik untuk memimpin Malaysia tetapi mereka membuat kesimpulan: Najib perlu bertindak secara drastik.

Bagaimana? Mereka juga tidak tahu. Mungkin inilah isyarat lemahnya tahap menteri dalam Kabinet.

Untuk ini, Najib kelihatan memberikan respon terhadap kritikan terhadapnya dengan mengambil langkah kecil.

Beliau membaik pulih stafnya di Pejabat Perdana Menteri termasuk menukar ketua staf yang sudah lama berkhidmat dengannya kepada yang lebih muda dan dinamik.

Terdapat juga retreat dengan ketua bahagian Umno dan broker kuasa lain dalam parti itu – langkah dilihat untuk meyakinkan Umno Najib dan pemimpin parti itu sedang melakukan sesuatu.

Tetapi itu tidak mencukupi, Najib perlu berbuat lebih banyak untuk meyakinkan rakyat Malaysia beliau berkuasa. Lebih banyak perlu dilakukan.

Perlu ada bukti setiap hari kehidupan menjadi semakin baik bagi berjuta rakyat Malaysia yang berjuang untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan kos kehidupan.

Jika tidak, orang ramai akan mula menghitung berapa hari lagi tinggal untuk Najib berada di tampuk kekuasaan. – 14 Febuari, 2014.