Advertisement

Senator PKR kenal Siti Aishah, ragui dakwaan perhambaan

Senator PKR kenal Siti Aishah, ragui dakwaan perhambaan

Senator PKR membayangkan keraguannya sama ada wanita warga Malaysia yang baru-baru ini diselamatkan oleh polis Britain di sebuah rumah di London benar-benar terbabit dalam perhambaan seperti yang didakwa atau sebenarnya tidak.

Bercakap kepada media British Broadcasting Corporation, bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali (gambar), berkata Siti Aishah Abdul Wahab adalah seorang daripada “dua atau tiga gadis Melayu” yang terbabit dengan Maoist pada tahun 1960-an dan dua daripada mereka sudah pulang ke Malaysia untuk bekerja.

“Saya agak skeptikal mengenai perhambaan.

“Pada masa itu, kumpulan berkenaan mempunyai ideologi berpusat menyebabkan mereka mudah mengawal ahlinya, walaupun dikaitkan dengan orang lain, keadaan yang sama mungkin boleh berlaku kepada Siti Aishah,” katanya merujuk kepada zaman ketika beliau melanjutkan pelajaran di London dari 1966 hingga 1968.

Ahli politik veteran itu menggambarkan Siti Aishah, pada ketika itu berusia antara 20 hingga 21 tahun sebagai seorang yang cantik dan sangat pintar serta setia terhadap rakan dan kumpulannya.

Syed Husin berkata, ketika beliau terdengar berkenaan penangkapan Aravindan Balakrishnan dan isterinya, Chanda, yang pernah ditemuinya ketika belajar di sana, beliau berpendapat 'hamba dari Malaysia' itu berkemungkinan Siti Aishah.

Katanya, ini kerana Siti Aishah adalah antara seorang daripada dua atau tiga wanita yang kembali ke tanah air dan bekerja.

"Dua daripada mereka memutuskan hubungan dengan kumpulannya," katanya.

Kakak Siti Aishah, Kamar Mahtum berlepas ke London pada malam Selasa lalu dalam misi mencarinya.

Siti Aishah adalah antara tiga wanita yang diselamatkan polis London, termasuk Rosie Davis, 30, dan wanita Ireland, 57, pada 25 Oktober.

Media British melaporkan ketiga-tiga mereka diperhambakan oleh pemimpin Maoist. – 28 November, 2013.