Seorang pemandu lori maut, seorang cedera dua lori bertembung

Kanak-kanak 5 tahun maut ditimbus baja di Bintulu

Seorang pemandu lori rentung manakala seorang lagi cedera parah apabila lori yang mereka pandu bertembung dalam kejadian di KM 21.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Changlun hari ini.

Kejadian pada 4 petang di Simpang Tiga Asun itu berlaku ketika Zainal Abidin Salleh, 54, sedang memandu lori membawa muatan barangan kompleks zon bebas cukai ke arah Bukit Kayu Hitam sebelum kenderaannya bertembung dengan sebuah lori papan lapis yang dalam perjalanan ke arah selatan.

Kejadian dikatakan berlaku apabila pemandu lori papan lapis itu cuba mengelak sebuah Perodua Kancil yang secara tiba-tiba memasuki simpang ke arah kawasan perumahan menyebabkan lori papan lapis itu terbabas ke laluan sebelah.

Kedua-dua lori berkenaan bertembung menyebabkan berlaku letupan dan kebakaran.

Mangsa tersepit di dalam lori itu manakala pemandu lori papan lapis pula berjaya keluar daripada kenderaannya untuk menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra Mohd Sufian Hassan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.10 petang dan mengerahkan dua jentera dengan 12 anggota ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba kami mendapati api sedang marak dan berjaya dikawal dalam masa kira-kira lima minit. Berdasarkan maklumat awal ada dua orang mangsa, seorang daripadanya rentung manakala seorang lagi cedera dan dikejarkan ke Hospital Jitra," katanya ketika dihubungi.

Zainal Abidin berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani tetapi kini menetap di Pulau Pinang.

Dia meninggalkan dua anak lelaki berusia 20-an yang kini mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam. Isterinya meninggal dunia setahun lalu. – Bernama, 24 Julai, 2014.