Shahidan nafi kerajaan dalang disebalik ‘bomoh do re mi’

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan Pakatan Rakyat (PR) kerajaan memberi kebenaran kepada bomoh untuk membantu mengesan lokasi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada Sabtu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.

Beliau berkata amat mustahil untuk kerajaan membenarkan upacara yang jelas bertentangan dengan agama Islam dan khurafat itu untuk dilakukan.

"Tidak, saya tidak percaya ia arahan daripada kerajaan. Tidak ada kerana ia amat bertentangan dengan ajaran agama Islam.

"Pihak berkuatkuasa agama tidak akan sesekali meluluskan perkara begitu dan saya lihat 'bomoh do re mi' dengan dayung dan tikar terbang, " katanya kepada pemberita di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata dakwaan yang mengaitkan bomoh yang terkenal di kalangan VIP itu dengan Umno sepatutnya tidak timbul.

Katanya tidak semestinya bomoh yang dilaporkan memakai lencana 1Malaysia itu merupakan pengikut Umno dan dibayar parti itu.

"‎Kerana orang kata dia pakai lencana 1Malaysia mereka kata kerajaan yang buat padahal kita takkan sekali benarkan perkara khurafat macam itu," katanya.

Shahidan berkata isu tersebut tidak patut diperbesarkan kerana fokus utama kerajaan kini adalah mencari pesawat hilang.

Semalam Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin, melakukan upacara untuk mencari di mana pesawat MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada hari pertama, Ibrahim dan pembantunya datang dengan sangkar dan teropong buluh untuk mencari pesawat itu manakala hari kedua beliau datang dengan buah kelapa dan “tikar terbang”.

Ia dilakukan di tengah-tengah kesibukan KLIA dan mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkannya sebagai "satu kerja gila" dan manakala ramai ulama menyifatkannya sebagai tindakan khurafat.

Pengguna media sosial juga mempermainkan tindakan bomoh itu dengan menyamakannya dengan “tikar terbang” yang dilakonkan oleh seniman agung Tan Sri P Ramlee. – 13 Mac, 2014.