Oleh Md Izwan
KUALA LUMPUR, 7 Okt — Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertindak menyelar ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengamalkan nepotisme ekoran isteri dan anak ketua pembangkang itu tersenarai sebagai anggota jemaah menteri dalam kabinet bayangan Pakatan Rakyat (PR).
Dalam laporan baru-baru ini, kabinet bayangan PR telah didedahkan dengan jawatan perdana menteri (PM) diberikan kepada Anwar manakala Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik sebagai menteri Di jabatan perdana menteri manakala Nurul Izzah pula sebagai menteri Wilayah Persekutuan dan Perancangan Bandar.
“Sekian lama beliau meninggalkan Umno dan Barisan Nasional (BN), beliau kutuk pasal nepotisme.
“Tapi sejak beliau mewujudkan parti pembangkang semuanya nepotisme totok,” kata ketua pergerakan Wanita Umno tersebut dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia.
Shahrizat turut menyelar Anwar sebagai seorang pemimpin yang tidak mempunyai pendirian kerana mempraktikkan amalan yang ditentang olehnya sebelum ini.
Susulan pendedahan kabinet bayangan itu juga, Shahrizat mempersoalkan kedudukan PAS yang kononnya dijanjikan jawatan PM sekiranya pakatan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
“Macam mana pula apabila disenaraikan PAS boleh terlepas dan Anwar pula jadi PM,” soal bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu lagi.
Shahrizat meletak jawatan pada Mac lalu susulan dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) bernilai RM250 juta oleh syarikat keluarganya Pusat Fidlot Corporation (NFCorp).
NFCorp mula mendapat perhatian setelah Laporan Tahunan Ketua Audit Negara melaporkan projek penternakan lembu berkenaan gagal mencapai sasaran.
Sejak dari itu, PR diketuai oleh pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli mula membuat beberapa siri pendedahan penyalahgunaan dana projek berkenaan untuk perkara yang tidak berkaitan dengan penternakan lembu.
Ini termasuk pembelian condominium bernialai jutaan ringgit di Bangsar, Singapura dan lot tanah di Putrajaya.
Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah mencadangkan kepada Peguam Negara supaya mendakwa pengarah-pengarah NFCorp kerana telah melakukan kesalahan pecah amanah, namun Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan lebih lanjut berhubung dakwaan berkenaan.
Shahrizat dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat pada 2001 dan mengekalkan jawatan selepas Pilihan Raya Umum 2008 walaupun beliau tewas dalam pilihan raya tersebut selepas dilantik menjadi senator.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai penasihat khas perdana menteri berhubung hal ehwal wanita dan pembangunan sosial sebelum menyambung kembali portfolionya.



