Siapa yang bersalah?

Ada kalanya masyarakat sendiri yang tidak pandai merebut peluang dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan, politikus dan kuasawan.

Selain daripada aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) juga kini terlibat dalam membantu menyelenggarakan bantuan bagi golongan yang memerlukan.

Perlu ditekankan bahawa segala sumbangan yang disalurkan itu bukannya dari tabung Kavyan kerana kami memang tidak ada wang.

Sebaliknya, kesemua sumbangan itu datang daripada masyarakat umum yang prihatin, manakala Kavyan hanya bertindak sebagai penyelenggara.

Apa yang mahu dikongsikan di sini adalah salah satu contoh kes terbaru yang sedang ditangani oleh Kavyan. Kisah ini mungkin boleh membantu kita untuk sama-sama membuka mata dan melakukan muhasabah diri.

Murugapan yang berumur 40 tahun adalah seorang pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebulan. Isterinya, Saraswathi (37 tahun), seorang surirumah. Dia pernah bekerja beberapa bulan tetapi banyak mengambil cuti kerana mengandung.

Murugapan hanya belajar hingga Tingkatan Tiga manakala Saraswathi belajar hingga Darjah Enam. Sudah dapat dibayangkan bagaimana situasi kehidupan mereka.

Anak-anak mereka ialah Baskaran (8 tahun), Eswaran (7 tahun), Dinesh (5 tahun), Rutravisnu (4 tahun) dan Yuvaarani (2 tahun).

Kavyan melakukan semakan pencapaian Baskaran dan Eswaran dalam pelajaran. Mereka didapati gagal dalam peperiksaan pertengahan tahun. Hal ini mungkin sahaja ada kaitan dengan situasi dalam keluarga serta kurangnya bimbingan ibu bapa.

Walau bagaimanapun, perlu dinyatakan kesemua anak ada dokumen kelahiran (MyKid). Hal ini membanggakan kerana ibu bapa sedar akan kepentingan dokumen berkenaan.

Ibu tunggal bagi tiga anak sejak 1975

Anak keenam bakal lahir dalam masa sekitar dua bulan. Malah, pada 18 Julai 2014, saya diminta tolong menghubungi ambulans kerana Saraswati mengadu sakit.

Semasa makalah ini ditulis, dia masih di hospital. Apabila dihubungi menerusi telefon, katanya, urat darah pada kaki timbul dan doktor mengarahkannya berehat.

Ibu Murugapan bernama Krishnamah dan wanita berumur 62 tahun ini tinggal bersama-sama Murugapan. Beliau menjaga kesemua cucu kepada anak lelaki tunggalnya itu.

Mereka kini menyewa sebuah rumah teres di Taman Sri Muda, Shah Alam dengan sewa RM650 sebulan.

Krishnamah datang menemui saya di Rumah Kavyan (tempat aktiviti Kavyan) pada 19 Julai 2014 untuk meluahkan perasaan dan menceritakan kisahnya.

Suami Krishnamah bernama Krishnan dan sudah meninggal dunia pada usia 44 tahun pada 4 Oktober 1975. Sejak itu, ibu tunggal dan anak bongsu ini tinggal bersama.

Dua anak perempuan Krishnamah sudah berkahwin dan tidak mampu membantu ibu mereka. Kadang-kadang mereka datang menjenguk si ibu dan anak-anak buah.

Dahulu, Krishnamah bekerja sebagai pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit di Perak. Pada Ogos 1998, Hospital Ipoh memberikan surat pengesahan bahawa wanita ini tidak boleh bekerja.

Laporan Hospital Ipoh menyatakan bahawa Krishnamah menderita penyakit dysphagia sejak 1996. Pemeriksaan lanjut dan ujian saringan darah menunjukkan wanita itu menghidap anaemia dan kekurangan sel darah merah.

Laporan itu juga mengesahkan bahawa kekurangan makanan berzat menjadi punca penyakit. Kemiskinan menyebabkan Krishnamah tidak mampu makan makanan berzat tetapi terpaksa bekerja keras menyara anak-anak.

Jabatan kebajikan hentikan bantuan

Doktor terbabit menggunakan frasa “vicious cycle” untuk menggambarkan situasi masalah ekonomi, sosial dan kesihatan yang dialami Krishnamah.

Amat nyata bahawa tanpa bantuan dan sokongan kewangan dan makanan berzat, Krishnamah dan cucu-cucunya akan terus terperangkap dalam lingkaran syaitan yang dimaksudkan.

Saya cuba merisik pada jiran-tetangga dan mereka rata-rata mengakui bahawa keluarga berkenaan memang hidup dalam kesusahan. Ada jiran yang cuba membantu kanak-kanak terbabit sekadar termampu.

Ibu bapa kepada anak-anak berkenaan (Murugapan dan Saraswati) juga terperangkap dalam lingkaran syaitan yang disebutkan tadi.

Mobiliti sosial dan ekonomi tersekat akibat kekurangan pendidikan. Sumber pendapatan mereka amat terhad kerana hanya mampu/layak membuat kerja dengan gaji/upah kecil.

Krishnamah memohon pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan diluluskan sebanyak RM250 sejak Disember 1999. Terkini, pencen ilat diterima adalah RM470 sebulan.

Wang itu biasanya digunakan untuk menampung kos perubatan (anaemia) yang ditanggung sejak 1996. Ubat dibeli dari sebuah farmasi berdaftar di Taman Sri Muda. Beliau tidak mampu pergi ke klinik untuk pemeriksaan berkala.

Semasa anak-anak masih kecil dan bersekolah di Bidor (Perak), Krishnamah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM100 dan kemudian ditambah menjadi RM150 selepas berpindah ke Shah Alam (Selangor).

Bagaimanapun, pada 21 Mei 2014, wanita ini dipanggil ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang untuk siasatan semula bantuan yang diberikan kepadanya.

Hasil temuramah, bantuan kebajikan itu dihentikan dengan alasan pendapatan keluarga melebihi had kelayakan; beliau mempunyai anak dewasa dan bekerja; serta ada sumber kewangan sampingan iaitu pencen ilat Perkeso.

Kavyan sedang dalam proses membawa Krishnamah menemui pegawai kebajikan masyarakat terbabit untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Lingkaran syaitan yang berterusan?

Warga emas ini disahkan sakit sejak 1996 tetapi tidak ada peluang untuk berehat kerana terpaksa menjaga lima cucu (dan seorang akan lahir). Saudara-mara pula kurang mampu dan tidak dapat memberikan bantuan kewangan.

Keluarga ini tidak mampu mengambil orang gaji atau menghantar anak-anak kepada pengasuh. Krishnamah yang tua dan tidak sihat terpaksa terus berkorban tanpa mampu mengadu kepada sesiapa.

Oleh kerana kurang pengetahuan, keluarga ini tidak tahu siapa yang perlu dihubungi untuk mendapatkan bantuan. Mereka mengaku tidak pernah menghubungi mana-mana parti politik,

Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk meminta bantuan.

Kavyan berusaha membantu sekadar termampu menggunakan sumbangan yang diterima daripada rakan-rakan dan kenalan. Tiga anak yang bersekolah akan dimasukkan dalam Projek Sumbangan Makan Tengah Hari mulai 21 Julai 2014.

Kes keluarga ini akan cuba dirujuk kepada Ahli Majlis Taman Sri Muda, Ruthira Surasan dan Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei. Saya yakin bahawa mereka akan bersedia untuk membantu mengikut kemampuan dan bidang kuasa masing-masing.

Sekurang-kurangnya sebagai Adun dan Ahli Majlis, mereka boleh memberikan panduan tentang pihak mana yang perlu dihubungi dalam isu yang dihadapi.

Pada masa sama, janji temu sudah diatur dengan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pada 21 Julai 2014. Saya akan membawa Krisnamah bersama-sama dua lagi penduduk Taman Sri Muda untuk bertemu beliau.

Tanpa sedikit pun menafikan hakikat Murugapan turut bersalah dalam “lingkaran syaitan” yang melanda keluarganya, saya dan Kavyan berharap pelbagai pihak akan bersedia memberikan perhatian serius terhadap kes yang bakal dibawa kepada mereka.

Orang ramai boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my atau melayari www.facebook.com/uthaya untuk maklumat lanjut berhubung kes-kes seperti ini yang sedang cuba dibantu oleh Kavyan. – 21 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.