SPR guna dakwat kekal berbeza dalam PRK Kuala Besut

Oleh Hasbullah Awang Chik

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu pembekal dakwat kekal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut kali ini adalah pembekal yang berbeza daripada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Berhubung peratusan nitrat perak yang akan digunakan, SPR akan memaklumkan hal itu kemudian.

SPR juga enggan mendedahkan siapa pembekal dakwat kekal pada PRU yang lalu dan siasatan berhubung isu berkenaan sedang dijalankan.

"Kita akan pastikan kandungan nitrat perak dalam dakwat kekal kali ini akan membuatkan dakwat kekal berkenaan benar-benar kekal.

"Kami berhasrat untuk mengadakan satu demostrasi dakwat kekal seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Saya percaya ramai di sini (wartawan) tidak mengundi di Kuala Besut, jadi lebih mudah kita memilih sukarela untuk demonstrasi dakwat kekal," ujar Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semasa mengumumkan tarikh PRK Kuala Besut di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, hari ini.

SPR turut mengakui kelemahan dakwat kekal yang diguna dalam PRU13 seperti dibantah penyokong pembangkang.

"Menurut undang-undang sekarang, dakwat kekal harus digunakan untuk mengesahkan bahawa seseorang itu telah mengundi. Ini bermakna dakwat kekal akan digunakan dalam PRK kali ini kecuali peraturan berkenaan dipinda.

"SPR mendapati antara permasalahan dakwat kekal adalah ia mudah dipadam, lambat kering dan mengotorkan kertas undi. Saya tidak menyatakan dakwat kekal membantutkan urusan pilihan raya tetapi ada sedikit kelemahan kerana pertama kali dakwat kekal digunakan dalam PRU yang lalu," jelas Abdul Aziz.

SPR juga kini dalam proses mendapatkan dakwat kekal lebih baik dan mengatasi kelemahan yang dikesan dalam PRU lepas.

Isnin lalu, SPR menyatakan kesediaannya untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dakwat kekal yang mudah tertanggal pada PRU13 lalu.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR tidak bimbang sebaliknya percaya siasatan tersebut dapat membersihkan nama SPR.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali juga mengesahkan berhubung penubuhan pasukan siasatan berkenaan oleh SPRM.

SPR berdepan tekanan selepas pendedahan di Parlimen baru-baru ini bahawa bahan kimia dalam dakwat itu diganti dengan pewarna makanan yang menyebabkan ia mudah tertanggal.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahidan Kassim mengakui di Dewan Rakyat pada Rabu lalu pewarna makanan, bukannya nitrat perak yang seharusnya digunakan dalam dakwat kekal. - 5 Julai, 2013.