Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 9 Julai — My Overseas Vote (MOV) hari ini menegaskan, selagi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak meminda peraturan pendaftaran pemilih dan pengundi pos, pengundi-pengundi Malaysia yang berada di luar negara tidak akan boleh mendaftar sebagai pengundi.
“Selagi SPR belum meminda peraturan-peraturan itu, adalah mustahil untuk 95 peratus pengundi Malaysia di luar negara untuk mendaftar sebagai pemilih,” kata Koordinator My Overseas Vote, Andrew Yong, kepada The Malaysian Insider, dan menambah, “sekarang ini ada 1 juta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dengan majoritinya pekerja swasta.”
SPR sebelum ini telah menyuarakan kekecewaan dengan sambutan hambar yang diterima mereka terhadap pendaftaran pengundi di luar negara kerana setakat ini hanya setakat ini hanya 300 hingga 400 orang sahaja yang mendaftar.
Jelas Yong (gambar), ramai rakyat Malaysia yang berada di luar negara sedang menunggu SPR meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, dan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 tersebut bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya umum.
Berdasarkan peraturan-peraturan tersebut, hanya kakitangan kerajaan, anggota tentera, dan pelajar Malaysia yang mengikuti kursus sepenuh masa di luar negara dan berumur 21 tahun ke atas sahaja dibenarkan mengundi.
“Ramai yang masih menunggu SPR meminda peraturan itu, supaya mereka boleh mengundi.
“Bagaimanapa mereka hendak mendaftar, sedangkan peraturan sendiri tidak membenarkan mereka untuk menjadi pengundi?” soal Yong lagi.
Menurut Yong, pada Ogos tahun ini, SPR telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan meminda peraturan-peraturan tersebut, namun pihaknya sehingga kini masih lagi menantikan perkara itu berlaku.
“Malah, Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berkaitan penambah baikan pilihan raya juga telah memberikan syor supaya SPR meminda peraturan-peraturan berkenaan sebelum 3 Julai lepas, namun tempoh tiga bulan yang diberikan PSC kepada SPR itu seperti sia-sia,” tegasnya yang nyata kecewa dengan kenyataan SPR itu.
“Apa alasan SPR? Semua orang menantikan mereka melakukan pindaan. Kami syak SPR tidak akan melakukan pindaan tersebut sehingga selesai pilihan raya umum ke-13 nanti,” tegas Yong.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 6 Julai lalu berkata, selepas enam bulan SPR membuka pendaftaran bagi pengundi luar negara di pejabat kedutaan dan konsul, hanya sekitar 300 hingga 400 orang sahaja yang mendaftar, dengan jumlah rekod tertinggi pendaftaran sehari adalah lima orang.
“Sebelum SPR buka pendaftaran dulu, heboh seluruh dunia seolah-olah begitu ramai pengundi Malaysia di luar negara yang dinafikan hak untuk mengundi,” kata Abdul Aziz.
Untuk memudahkan rakyat Malaysia di luar negara untuk menjadi pengundi, SPR telah melantik semua pegawai-pegawai Malaysia di pejabat kedutaan dan pejabat konsul sebagai penolong pendaftar.
Borang daftar pengundi boleh dimuat turun dan diisi terlebih dahulu sebelum dihantar ke pejabat kedutaan dan konsul Malaysia di luar negara.
Dalam perbincangan bersama PSC, SPR juga telah mencadangkan agar rakyat Malaysia di luar negara yang ingin mendaftar sebagai pengundi harus pulang ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam masa lima tahun.
“Jika langsung tidak pernah pulang ke Malaysia, bermakna mereka sudah tidak tahu tentang politik di Malaysia.”
Pilihan raya bagi pengundi luar negara tidak akan dijalankan seperti proses biasa kerana mustahil diadakan dan Wisma Putra tidak sanggup melaksanakannya.
“Di sesetengah tempat di luar negara, hanya ada satu dua orang sahaja rakyat Malaysia dan agak membuang masa untuk membuat proses biasa.
“Oleh itu, SPR mencadangkan agar proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara dijalankan secara undi pos,” kata pengerusi SPR itu lagi.


