Suhakam khuatir hukuman ringan perogol kanak-kanak

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menyuarakan kebimbangan dengan hukuman merogol gadis bawah umur yang terlalu ringan kerana ia bakal mendedahkan kanak-kanak kepada sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan seksual.

Badan NGO itu juga turut menyuarakan kebimbangan dengan hukuman ringan yang dikenakan mahkamah terhadap dua pesalah rogol gadis bawah umur baru-baru ini.

“Kerajaan hendaklah melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk eksploitasi seksual dan penderaan seksual dengan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk memastikan pemulihan dan integrasi ke dalam masyarakat yang akan memperkukuhkan kesihatan, kehormatan diri dan maruah kanak-kanak sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 39 Konvensyen Hak Kanak-Kanak,” kata Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam.

Jelas Hasmy dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya bimbang hukuman yang dikenakan ke atas pesalah itu tidak akan menjadi langkah pencegahan kes rogol bawah umur berikutan ia adalah hukuman yang ringan.

“Adalah juga menjadi kebimbangan bahawa hukuman ringan yang dijatuhkan ini mungkin menghantar mesej yang tidak betul kepada bakal pesalah.

“Dan seterusnya ianya tidak akan menjadi satu langkah pencegahan yang berkesan untuk kes rogol bawah umur,” katanya lagi.

Mahkamah sebelum ini telah menjatuhkan hukuman ringan terhadap pesalah kes rogol kanak-kanak bawah umur dalam dua kes mahkamah apabila dihukum mandatori lima tahun penjara minimum serta sebatan dibawah seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

Isu tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai selepas Mahkamah Sesyen membebaskan Chuah Guan Jiu, 22 tahun dengan ikat jamin RM25,000 selama tiga tahun walaupun didapati bersalah merogol kanak-kanak bawah umur di Pulau Pinang tahun lalu dan pemain bowling negara Noor Afizal Azizan telah dibebaskan dengan ikat jamin RM25,000 berbanding hukuman penjara selepas beliau mengaku bersalah atas melakukan rogol bawah umur

Undang-undang Malaysia menetapkan bahawa seks di bawah umur 16 tahun dikategorikan kes rogol bawah umur.

Tambah Hasmy, undang-undang keseksaan mengiktiraf bahawa “kanak-kanak mungkin kurang tahap kematangan yang diperlukan untuk memberi keizinan sebenar dalam perlakuan seks.”

“Atau mungkin juga mereka terlalu dipengaruhi untuk memberikan kebenaran, sepertimana yang ditekankan oleh larangan undang-undang terhadap hubungan seksual dengan kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun, tanpa mengambil kira keizinan diperoleh daripadanya.

“Kelemahan kanak-kanak juga diiktiraf oleh Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menyatakan, antara lain, bahawa kanak-kanak atas sebab ketidakmatangan fizikal dan mental memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk perlindungan undang-undang yang sesuai,” katanya lagi.

“Berdasarkan hukuman berkenaan, adalah diragui sama ada hak, perlindungan dan kepentingan yang terbaik, apatah lagi masa depan kanak-kanak bawah umur telah dan akan terus dipertahankan dan dilindungi dalam kes-kes yang melibatkan rogol bawah umur,” tegasnya.

Badan dunia mengenai penklasifikasian penyakit (ICD) mengatakan pedofil merupakan “seks kanak-kanak, sama ada lelaki, perempuan atau keduanya, dari sebelum akil baligh atau di peringkat awal selepas akil baligh.”

Menurut Statistik dan Diagnosis untuk Penyakit Mental (DSM) yang digunakan oleh pakar professional kesihatan mental seluruh dunia, pedofil adalah mereka yang tertarik dengan hubungan seks antara kanak-kanak berusia 13 tahun atau lebih muda, dan pelaku mestilah berusia 16 tahun ke atas dengan pasangannya sekurang-kurangnya lima tahun lebih muda.

Noor Afizal berusia 19 tahun apabila dia melakukan kesalahan merogol gadis berusia 13 tahun, enam tahun lebih muda.

Dalam kes Chuah, beliau berusia 21 tahun apabila melakukan kesalahan, sementara mangsanya berusia 12 tahun — beza sembilan tahun.

Perbezaan usia antara perogol dan mangsa dalam kes ini, merujuk kepada ICD dan DSM boleh dikategorikan sebagai pedofil.

Hukuman penjara yang lebih panjang seharusnya diberikan kepada pemain bowling Noor Afizal merogol kanak-kanak bawah umur berusia 13 tahun apabila dia berusia 19 tahun sekiranya beliau menggunakan kekerasan atau keganasan, kata mahkamah rayuan awal minggu ini dalam penghakiman bertulis mengapa mahkamah memutuskan untuk hanya mengenakan ikat jamin selama lima tahun.

Mahkamah bagaimanapun berkata, keputusan ini tidak seharusnya menjadi rujukan apabila berlakunya kes rogol bawah umur dan seharusnya dihakimi dengan keputusan sendiri.

Presiden mahkamah rayuan, Tan Sri Raus Sharif berkata dalam penghakimannya, Noor Afizal, yang kini berusia 21 tahun adalah seorang “lelaki yang menyesali apa yang dia telah lakukan dengan mengaku kesalahannya.”

Raus, bersama Hakim K.N. Segara dan Azhar Ma’ah, telah memutuskan keputusan tersebut.

“Kami turut memutuskan bahawa pelakuan seks ini adalah kehendak bersama dan dia seorang yang tidak habis sekolah,” kata hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz, mengikut laporan dari The Star terhadap Chuah, yang berusia 22 tahun, seorang juruelektrik, diikatjamin sebanyak RM25,000 selama tiga tahun.

Kemarahan orang awam semakin memuncak apabila penghakiman mahkamah rayuan hari ini berubah dari keputusan mahkamah tinggi daripada keputusan hukuman penjara terhadap pemain bowling tersebut kepada ikat jamin lima tahun — kerana masa depan pemain bowling tersebut sebagai tiket untuk tidak ke penjara.

Tetapi mahkamah rayuan memutuskan dalam penghakiman bertulis untuk melepaskan pemain bowling itu dengan ikat jamin, tidak bermakna melibatkan kes untuk sama untuk akan datang.

“Jika perayu (Noor Afizal) lebih tua, atau dia menggunakan kekerasan, paksaan atau keganasan ke atas mangsa, atau menggunakan penipuan, serta tidak bekerjasama dengan polis, dan tidak menunjukkan kekesalan di atas kesalahannya, atau tidak ada jaminan untuk dia tidak melakukan kesalahan yang sama, kami tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman, sepertimana kes yang sebelumnya,” kata Raus.

Di mahkamah Sesyen Melaka, hakim telah mengarahkan Noor Afizal diikatjamin sebanyak RM25,000 selama lima tahun selepas beliau mengaku bersalah merogol kanak-kanak tersebut di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka pada 5 Julai 2010.

Bagaimanapun, pendakwa telah merayu kepada mahkamah tinggi pada 20 September tahun lalu untuk penjara mandatori minimum lima tahun, dibawah kesalahan merogol dalam Kanun Keseksaan.

Menurut kes tersebut berdasarkan penghakiman bertulis mahkamah rayuan hari ini, Noor Afizal telah menempah hotel di Melaka pada 5 Julai, 2010 bersama gadis yang pada ketika itu berusia 13 tahun empat bulan.

Keduanya berkata bahawa seks itu adalah seks sukarela. Keesokan paginya, Noor Afizal menghantar gadis itu ke rumah.

Gadis tersebut tidak bercakap apa-apa, dan insiden itu hanya diketahui bila ayahnya membaca diarinya.

Raus juga berpendapatan bahawa ikat jamin Noor Afizal ini adalah adil kerana dia mempunyai rekod sebagai seorang perogol

Hasmy turut menambah pihaknya juga khuatir dengan pendedahan nama pesalah kerana ia juga akan mendedahkan identiti mangsa.

“Kepentingan yang terbaik untuk kanak-kanak dalam kes-kes sebegini, termasuklah perlindungan identiti mangsa, keselamatan dan kesejahteraan, sepatutnya menjadi keutamaan seperti yang termaktub di bawah Perkara 19 dan 34 Konvensyen Hak kanak-Kanak.”

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.