MERSING, 8 Sept (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim melahirkan rasa
dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas
bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati
spesifikasi.
Baginda turut meluahkan rasa kecewa kerana permintaan untuk mempertingkat
kelengkapan kor itu tidak diendahkan, seolah-olah Kor Gerak Khas
dianaktirikan. "Saya amat menghargai nilai nyawa anggota Gerak Khas kerana
ianya adalah
modal insan yang terlatih, namun jika anggota itu dilengkapkan dengan peralatan
yang tidak bermutu dan tidak menepati standard spesifikasi, maka peluang untuk
mereka terbunuh adalah amat tinggi.
"Sekiranya perkara ini berterusan yang mana cara pembelian peralatan tidak
menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan, maka saya
rasa lebih baik saya mengambil alih pembelian peralatan tersebut," titah
baginda.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada
majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar di sini hari ini.
Turut Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Penglima
Tentera Darat Jen Datuk Zulkefli Zainal Abidin.
-- LAGI
SULTAN-GERAK KHAS 2 (AKHIR) MERSING
"Dalam usaha kerajaan mengawal bajet dan perbelanjaan, pihak Kementerian
Pertahanan hendaklah meneliti satu persatu pembelian yang dibuat dan memastikan
peralatan yang diperolehi bertepatan dengan keperluan dan mempunyai kualiti yang
tinggi," titah baginda.
Di samping itu Sultan Johor juga mengingatkan pihak yang berkenaan agar
tidak mengambil kesempatan dalam usaha pihak tentera melengkapkan kor itu dengan
peralatan terkini.
"...janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan
harga yang berlipat kali ganda," titah Sultan Ibrahim.
Baginda juga mahu segala rancangan pembangunan rejimen dimaklumkan
kepadanya kerana baginda sentiasa mengikuti perkembangan rejimen itu.
Kem Iskandar titah baginda, menjadi lokasi lawatannya setiap kali
mengunjungi Mersing.
-- BERNAMA
MHI MHI NM

