Sungai Limau pilih siapa, ustaz atau pensyarah?

Siapa yang akan menjadi pilihan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau 4 November ini, seorang ustaz atau pensyarah?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menerima pencalonan Azam Samad, 37, sebagai calon PAS dan Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, sebagai calon BN untuk bertanding merebut kerusi DUN Sungai Limau.

Azam, Pengarah Pasti negeri Kedah, adalah seorang bekas guru pondok selepas tamat belajar di Universiti Al-Azhar manakala Dr Sohaimi adalah pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Daripada aspek pendidikan, calon BN lebih tinggi kerana mendapat tiga ijazah utama iaitu Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Sarjana Sastera Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Kedoktoran Sains Politik USM.

Sementara calon PAS pula adalah pemilik Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar.

Apakah pendidikan lebih tinggi menjadi kriteria pilihan pengundi atau pendidikan berasaskan agama yang diutamakan penduduk Sungai Limau?

Daripada segi penglibatan dalam parti pula, kedua-dua calon nampaknya seimbang. Azam adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerai manakala Dr Sohaimi adalah AJK Umno Bahagian Jerai.

Daripada segi umur pula, Azam lebih muda iaitu 37 tahun manakala Ahmad Sohaimi tidaklah terlalu tua dengan umurnya 52 tahun.

Kesimpulannya, secara ringkas kedua-dua calon mempunyai latar belakang yang agak seimbang untuk dijadikan isu oleh mana-mana pihak dalam pilihan raya kecil ini.

Menurut sumber, pemilihan Azam oleh PAS berjaya meredakan tekanan daripada dua pusat pengajian pondok utama di Kedah yang terletak dalam kawasan pilihan raya ini iaitu Pondok Pak Man Bukit Besar dan Pondok Pak Ya.

Azam adalah salah seorang tenaga pengajar di Pondok Pak Man. Sebelum ini, kedua-dua pondok ini banyak memberi takanan kepada PAS.

"Bila Ustaz Azam dipilih, hanya tinggal satu lagi pondok sahaja iaitu Pondok Pak Ya Junid yang agak menekan PAS," kata sumber itu.

Sejak pilihan raya 1986, Sungai Limau (sebelum ini Sala) menjadi kerusi tradisi keluarga besar allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

Sebelum Azizan yang mula menjadi wakil rakyat kawasan ini mulai 1995, ia diwakili oleh sepupunya iaitu Azahari dan bapa saudaranya yang dikenali sebagai Pak Teh Mat.

Lebih menarik ialah walaupun ramai antara keluarga Azizan ini orang Umno, namun undi mereka sentiasa diberikan kepada Azizan sebelum ini atas hubungan kekeluargaan mereka.

Namun teori itu menjadi tidak kuat apabila Azizan tetap menang dalam PRU13 dengan majoriti 2,774 undi mengalahkan sepupunya sendiri, Fazillah Mohd Ali daripada BN di samping dua calon bebas.

Bagi PAS, Sungai Limau adalah kawasan kedua terkuat PAS di Kedah selepas Tokai (nama sebelum ini Bukit Raya yang diwakili allahyarham Datuk Fadzil Mohd Nor).

Sejak tujuh pilihan raya yang lalu, BN hanya menang sekali sahaja di sini melalui bapa saudara kepada Azizan. Selebihnya dimenangi oleh PAS.

Menurut satu analisa yang dibuat oleh Zulkifli Yahya, bekas Pengarah Urusetia Penerangan kerajaan negeri Kedah, ketika Azizan menjadi Menteri Besar, sokongan orang Melayu kepada PAS di Kedah jatuh 9 peratus dalam PRU13.

"Saya mengandaikan bahawa di Sungai Limau sokongan untuk Azizan datangnya daripada pengundi teras PAS dan majoriti pengundi Cina menerusi 1, 800 pengundi. Hampir tiada undi untuk PAS daripada pengundi atas pagar," kata Zulkifli dalam Harakahdaily, akhbar rasmi PAS.

Satu lagi faktor yang sangat menarik di Sungai Limau adalah kewujudan “golongan kecewa” dalam PAS.

Kumpulan ini tidaklah dominan namun tindakan protes mereka berterusan dan sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap jentera parti.

Mereka menyayangi PAS, tetapi berkonfrontasi dengan Azizan ketika itu.

Kata Zulkifli, kini orang yang mereka musuhi sudah tiada dan mereka boleh ditarik untuk kembali menguatkan PAS.

Pada PRU13, Azizan mempertahankan kerusi Sungai Limau dengan majoriti berkurangan sebanyak 433 undi berbanding majoriti 3, 212 dalam pilihan raya 2008 iaitu ketika PAS dan Pakatan Rakyat berjaya memerintah Kedah. - 23 Oktober, 2013.