KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Polis hari ini menembak mati salah
seorang daripada tiga suspek yang disyaki terbabit menembak dua anggota polis
peronda di Jalan Kuchai Lama, di sini, Rabu lalu.
Dalam insiden kira-kira pukul 3 pagi, suspek berusia 32 tahun itu melarikan
diri apabila kereta jenis Proton Waja yang dipandunya cuba ditahan polis
berhampiran pusat membeli-belah Mid Valley di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala
Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata suspek yang menaiki kereta itu seorang diri
enggan berhenti lalu dikejar anggota polis sehingga kenderaan suspek terbabas di
kawasan parkir Taman Desa Water Park.
"Apabila anggota polis menghampiri kenderaan tersebut untuk membuat
pemeriksaan, suspek keluar daripada keretanya dan melepaskan beberapa das
tembakan," katanya pada sidang media di sini.
Ku berkata sebagai langkah mempertahankan diri, anggota polis terpaksa
membalas tembakan sehingga suspek terbunuh di tempat kejadian.
-- LAGI
POLIS-TEMBAK 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol semi
automatik berwarna silver mengandungi sebutir peluru hidup, satu kelopak
mengandungi sebutir peluru hidup 9mm jenis Luger, dua butir kelongsong peluru
jenis Luger dan sebuah kapak dalam kereta tersebut.
Beliau berkata kenderaan yang digunakan suspek dilaporkan hilang di Kelana
Jaya pada Ogos lepas.
Katanya mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Ku berkata pihak polis sedang mengesan dua lagi individu iaitu Wan
Fadrulzaman Wan Mohamad Fadil, 30, berasal dari Lanchang Mentakab, Pahang dan
seorang remaja berusia 17 tahun untuk membantu siasatan kes itu.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang Rabu lalu, Koperal R. Subramanian, 52,
dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan
ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di
kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di sini.
Subramaniam cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Nor Azlan cedera
di leher dan keadaan mereka dilaporkan stabil di Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM), Petaling Jaya.
-- BERNAMA
AE LES DC


