KUALA TERENGGANU, 29 Sept (Bernama) -- T-Team bakal melakarkan sejarah
dalam arena bola sepak negara apabila menjadi pasukan perintis melantik seorang
jurulatih merangkap pengurus pasukan pada saingan Liga Super musim depan.
Pembaharuan drastik yang dilakukan oleh pasukan kelab Terengganu itu adalah
bagi mencontohi sistem pengurusan kelab profesional dalam Liga Perdana Inggeris
(EPL).
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kaedah ''dua dalam satu'' itu
adalah bagi memastikan pasukan T-Team diurus secara profesional dan calon
berkenaan diberi tanggungjawab sepenuhnya tanpa diganggu oleh orang lain seperti
sebelum ini.
"Pembaharuan ini, kami yakin pasukan T-Team akan kembali menyerlah pada
musim akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah
acara Larian Jambatan Sultan Mahmud 2012 yang disempurnakan Sultan Terengganu
Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Ditanya sama ada bekas jurulatih Terengganu, Peter James Butler, akan
mengisi jawatan itu, Ahmad enggan mengulas.
-- LAGI
SUKAN-BOLA SEPAK (T-TEAM) 2 (AKHIR) KUALA TERENGGANU
"Itu saya tidak boleh komen, tunggu dan lihat bila sampai masanya pengumuman
akan dibuat," katanya.
Kerajaan negeri menjadi penaja utama T-Team dan prestasi pasukan yang
dibimbing oleh jurulatih Yunus Alif mengalami kemerosotan sehingga gagal layak
ke suku akhir Piala Malaysia.
T-Team menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan menduduki tangga
kelapan manakala pasukan Terengganu di tempat kelima.
-- BERNAMA
IB FBR DC

