KUCHING, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib
Mahmud hari ini meluangkan masa menemani 150 orang golongan kurang bernasib baik
di sini untuk membeli pakaian bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Golongan kurang bernasib baik itu terdiri dari anak yatim,
fakir miskin dan orang kelainan upaya dari sekitar kawasan Petra Jaya dan
Samariang.
Taib turut diiringi isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri
Pelancongan dan Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof serta
Anggota Dewan Undangan Negeri Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman
Ghazali.
Fadillah yang juga merupakan Anggota Parlimen Petra Jaya dan Ketua Pemuda
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata program itu merupakan
sumbangan tahunan yang dijayakan secara bersama antara Sayap Pemuda PBB dan
cawangan Petra Jaya dan Samariang.
"Jumlah mereka yang mendapat sumbangan untuk tahun ini juga merupakan yang
tertinggi sejak program ini mulai dibuat sebagai aktiviti tahunan sempena
menyambut kedatangan Syawal lapan tahun lepas," katanya.
-- BERNAMA
HI HM

