Advertisement

Taman tema Hollywood bakal dibuka di Genting Highlands

Taman tema Hollywood bakal dibuka di Genting Highlands

Taman tema pertama oleh pengeluar filem Hollywood, Twentieth Century Fox, dijangka dibuka di Genting Highlands pada 2016.

Presiden Produk Pengguna Twentieth Century Fox, Jeffrey Godsick, berkata berdasarkan pelan, sebanyak 25 permainan berdasarkan filem terbitan Fox seperti Ice Age, Rio, Alien vs Predator, Planet of the Apes dan Night at the Museum akan menemui pengunjung terutamanya kanak-kanak dan penggemar permainan mencabar.

"Pembukaan taman tema pertama Twentieth Century Fox di Genting Highlands menggambarkan sejarah penceritaan dan pengalaman hiburan baru.

"Pengunjung serata dunia akan berkumpul di Malaysia bagi menjadi sebahagian daripada kisah dan mengalami keajaiban serta pengembaraan filem Fox kegemaran mereka," katanya seperti dilapor CNN baru-baru ini.

Jeffrey berkata Twentieth Century Fox telah menjalin kerjasama dengan Genting Malaysia bagi merealisasikan pembinaan taman tema seluas 25 ekar itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Genting Malaysia Tan Sri Lim Kok Thay berkata RM300 juta dilabur untuk taman tema berkenaan yang akan dinamakan Twentieth Century Fox World.

Katanya, kebanyakan pengunjung domestik dijangka bakal menikmati sendiri pengalaman di taman tema itu selain pengunjung antarabangsa yang kebanyakannya dari China dan Asia Tenggara.

Twentieth Century Fox turut memaklumkan taman tema lain dalam perancangan. - 26 Disember, 2013.