Tarikan Bubur Lambuk Kampung Baru


Saban tahun, Masjid  Jamek di Kampung Baru menjadi tumpuan ramai  oleh kerana bubur lambuknya yang menjadi idaman wargakota di kala Ramadan menjelma.

Sajian yang menjadi sinonim dengan Kampung Baru ini diedarkan secara percuma selepas Asar setiap hari di bulan puasa. Ribuan orang berpusu-pusu di luar masjid ini untuk memperolehi bungkusan bubur lambuk untuk dijadikan juadah berbuka. Kadang-kadang barisan bubur lambuk ini boleh melingkari sehingga seluruh perimeter masjid. 




Lapan tukang masak bertanggungjawab menyediakan juadah yang popular ini. Bubur lambuk Kampung Baru ini dihasilkan dengan merenih beras dengan air untuk beberapa jam bersama rempah ratus dan daging. Sajian ini sangat sesuai sebagai juadah berbuka kerana ia berkhasiat, mudah hadam dan sedap rasanya. Aktiviti memasak bubur ini hanya akan dihentikan sehari sebelum Aidilfitri. Ini kerana segala peralatan dapur seperti periuk belanga perlu dibersihkan sebelum tibanya hari Lebaran ini.

Kami berpeluang untuk menemuramah, Haji Mohalim,  salah seorang tukang masak yang bertanggungjawab memasak bubur lambuk ini setiap hari. "Biasanya kami akan menyediakan lebih kurang 3,000 bungkusan bubur lambuk sehari. Oleh itu, 10 orang ditugaskan untuk mmbungkus bubur yang telah dimasak sebelum diedarkan kepada orang ramai.  Tetapi, kian hari, jumlah yang datang semakin meningkat sampai kami kadang-kadang tak dapat nak memenuhi kehendak mereka kerana sudah kehabisan bubur lambuk", ujar beliau.




Apabila ditanya apakah rahsia tarikan bubur lambuk yang menyebabkan ramai orang meminatinya, Haji Mohalim tersenyum sambil berkata, "Rasanya, kami pakai resepi yang biasa untuk buat bubur lambuk ni. Kami pun tak pernah rahsiakan bahan-bahan apa yang kami pakai. Entahlah, mungkin sebab berkat daripada bersedekah bubur lambuk pada orang ramai yang membuatkan ia lagi sedap." Bubur lambuk ini telah menjadi igauan wargakota selama lebih daripada 50 tahun dan sebenarnya, segala perbelanjaan untuk membuat bubur ini diperolehi daripada kutipan derma.

Mungkin, rahsia yang menyebabkan bubur ini disukai ramai adalah  dedikasi dan sikap kerjasama komuniti Kampung Baru yang sama-sama terlibat tidak kira dari segi sumbangan wang atau tenaga untuk mengekalkan tradisi ini sehingga ia menjadi sebahagian daripada identiti kampung  mereka.

Jadi,  bagaimanakah Haji Mohalim dan rakan -rakan sekerjanya menyediakan bubur tersebut? Sebenarnya, proses memasak bubur ini sangat mudah. Mula-mula, rempah dan bahan-bahan kering ditumis bersama campuran minyak masak dan minyak sapi. Antara rempah yang digunakan adalah jintan manis, jintan hitam, buah pelaga, cengkih, lada hitam dan bunga lawang. Setelah ditumis, rempah-ratus ini digoreng bersama bawang merah, bawang putih dan halia sehingga wangi. Kemudian, daging dimasukkan. Bahan-bahan ini dibiarkan merenih sehingga daging empuk. Selepas itu, beras dan air dimasukkan ke dalam periuk. Campuran bahan-bahan ini dimasak di atas api sederhana sebelum santan ditambah ke dalam adunan.

Santan dimasukkan ke dalam periuk apabila bubur sudah mula mendidih. Akhir sekali, masukkan daun bawang, daun sup dan daun pandan.  Bubur ini perlu diperhatikan dengan teliti kerana kalau dibiarkan terlalu lama, bahagian bawah bubur akan cepat hangit. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, adunan bubur terpaksa dikacau dari semasa ke semasa.  Ianya mangambil masa lebih kurang dua jam untuk masak sepenuhnya.

Aktiviti memasak Haji Mohalim dan rakan-rakan sekerjanya bermula seawal pukul 7.30 pagi  setelah segala persiapan bahan dilakukan malam sebelumnya selepas solat terawih.

Tukang-tukang masak ini memang arif didalam resipi ini dan hanya menggunakan pemegang periuk sebagai pengukur aras untuk bubur dimasakkan dengan sempurna.  Air diisi sehingga sama aras dengan pemegang periuk untuk memastikan air masakan tidak melimpahi keluar.





"Kita cuba untuk memenuhi permintaan setiap orang yang datang dan kami menghadkan satu bungkus untuk setiap orang tapi selalunya tidak mencukupi. Oleh itu, kami memberi keutamaan kepada jemaah yang datang berjemaah asar di masjid ini dan jumlah jemaah biasanya mencapai 1,000 orang," tambah Haji Mohalim.





Setelah tibanya waktu berbuka, seperti biasa kami mencuba bubur lambuk ini.  Teksturnya agak pekat dan kemanisan bawang serta hirisan daging yang empuk menambah keenakkan bubur lambuk ini.  Sajian ini amat menyelerakan. Mungkin keikhlasan tukang-tukang masak dalam menyediakan bubur lambuk ini yang menyerlahkan kelazatannya.

Setiap petang ketika Ramadan, orang ramai akan berkerumun di Masjid Jamek, Kampung Baru untuk mendapat bubur lambuk ini. Tradisi bubur lambuk ini sudah diamalkan lebih daripada separuh abad, dan popularitinya meningkat setiap tahun. Kami berharap, bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, tradisi bubur lambuk Kampung Baru ini akan kekal selama-lamanya dan tidak luput dimakan arus pemodenan. Mudah-mudahan generasi yang akan datang juga berpeluang untuk menikmati dan menghayatinya kerana amalan ini bukan sahaja menarik tetapi juga merupakan sebahagian daripada sejarah unik kotaraya Kuala Lumpur.


-------------------------

Artikel oleh FriedChillies.Com. Sejak 1998, FriedChillies.com telah banyak berkongsi tempat makanan best and resipi sedap untuk rakyat siber Malaysia dan dunia.  Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari FriedChillies.Com