KUALA TERENGGANU, 9 Sept (Bernama) -- Terengganu bakal memiliki empat
perkampungan inap desa baru dalam usaha menambah bilangan pelancong ke negeri
ini pada tahun depan.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Sabri Zakaria berkata dua
daripada perkampungan inap desa itu di peringkat peringkat kelulusan akhir iaitu
di Felda Keruak membabitkan 19 peserta dan Kijal (10 peserta).
Beliau berkata dua lagi di peringkat perbincangan awal bagi menyertai
program itu dan satu daripadanya, Kampung Bukit Wan di Tepoh, memiliki tarikan
seperti air terjun, taman herba, kebun ubi gadung serta dusun durian.
"Kementerian kini dalam proses perbincangan dengan anggota Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu bagi merealisasi hasrat itu,"
katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri Kementerian Pelancongan Malaysia
dan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Sabri berkata pada masa ini, terdapat 103 peserta di enam lokasi
perkampungan inap desa di seluruh Terengganu.
Katanya, program inap desa sedia ada memiliki keunikan tersendiri seperti
suasana tepi laut di Setiu, cara hidup peneroka di Felda Selasih, budaya tradisi
di Kampung Teluk Ketapang serta keindahan alam semula jadi di Kampung Pasir
Raja.
-- BERNAMA
KAK FBR SBB

