KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Delegasi pegawai kanan Timor-Leste akan
melawat negara anggota Asean bagi mempromosikan potensi pelaburan negara itu
serta menarik pelaburan dari negara jiran tertangganya.
"Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao akan melawat negara anggota Asean
bagi mempromosi pembangunan Timor-Leste serta menarik mereka yang berminat untuk
terlibat dalam pembangunan negara itu," kata Menteri Kanan yang juga Menteri
Luar dan Kerjasama Timor-Leste Dr. Jose Luis Guterres menerusi kenyataan media
yang dikeluarkan oleh Sekretariat Asean hari ini.
Dr. Jose berkata 80 peratus dagangan negara itu kini ialah bersama Indonesia
dan Singapura.
Beliau berkata kedutaan di negara Asean diminta memudahkan penghantaran
cadangan tender oleh syarikat untuk projek infrastruktur seperti jalan dan
pelabuhan di Timor-Leste.
Setakat in, Indonesia, Singapura dan Filipina merupakan tiga anggota Asean
paling aktif menyertai projek-projek pembangunan di Timor-Leste.
Sementara itu, Guterres juga memberikan maklumat terkini kepada Setiausaha
Agung Asean Le Luong Minh mengenai pelbagai persiapan yang dilakukan oleh
Timor-Leste susulan permohonannya untuk menganggotai Asean.
Timor-Leste tidak lama lagi akan menganjurkan seminar mengenai kajian yang
dilakukan oleh pakar dari Jepun mengenai cabaran yang dihadapi oleh Timor-Leste
untuk menyertai Asean.
Timor-Leste mengemukakan cadangan menyertai Asean pada 2011.
-- BERNAMA
AMY SD LAT

