KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Tindakan pemimpin PAS yang sering berubah
pendirian dalam beberapa isu kebelakangan ini jelas mencalarkan kredibiliti
ulama parti itu serta menunjukkan kejahilan mereka kata Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Masitah Ibrahim.
Sebagai contoh, dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa
Melayu, beliau berkata pemimpin PAS dilihat sering mengubah kenyataan mereka
hanya kerana mendapat tentangan hebat daripada sesuatu pihak.
"Pemimpin PAS jelas sekali bercakap atas dasar politik dan bukan berdasarkan
agama, sebab itu kenyataan mereka boleh berubah-ubah dari semasa ke semasa.
"Kalau bercakap ikut dasar agama, mereka perlu bercakap benar walaupun pahit
dan tidak disukai pelbagai pihak, dan ini jelas menunjukkan mereka ini tidak
jujur kerana berjuang atas tiket politik," katanya kepada pemberita selepas
majlis penyampaian sumbangan kepada pondok-pondok di pejabat Yayasan Pembangunan
Pondok Malaysia (YPPM) di sini hari ini.
Masitah berkata tindakan pemimpin PAS yang rata-rata adalah ulama cukup
mencalarkan kredibiliti mereka yang menggambarkan seolah-olah ulama boleh
dipilih atas tiket politik semata-mata.
-- LAGI
MASITAH-PENDIRIAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Ini memberi peluang serta ruang kepada rakyat untuk menilai ulama PAS sama
ada mereka benar-benar layak untuk menjadi pemimpin atau hanya berjuang atas
dasar politik. Inilah hikmah yang diberikan Allah menunjukkan bahawa pemimpin
PAS tidak tetap pendirian," katanya.
Beliau turut memberi contoh apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
mengumumkan buat julung kalinya Kelantan menjadi tuan rumah Majlis Tilawah
al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56 Mei depan, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat sekelip mata menukar pendiriannya yang sebelum ini mengatakan
wanita tidak boleh memperdengarkan bacaan al-Quran.
"Sekarang mereka membenarkan semula wanita di negeri itu menyertai tilawah
al-Quran berbeza dengan pandangan sebelum ini mengatakan suara wanita yang
membaca al-Quran secara Taranum adalah aurat," katanya.
Ditanya mengenai tindakan PAS menerbit dan mengedar buku Amanat Haji Hadi,
Masitah meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tampil memohon maaf
secara terbuka serta menarik balik kenyataan beliau yang terkandung di dalam
amanat itu.
"Saya difahamkan buku itu hanya diedarkan di kalangan ahli sahaja, namun
bagi saya amanat itu bukannya isu politik tetapi boleh memecahbelahkan umat
Islam apabila berlaku pertelagahan," katanya.
-- BERNAMA
NMA KHY KLS

