Tindakan tegas terhadap pihak hina dan pertikai kuasa Sultan, kata Zahid

Haram semua kempen bawa keluar Sabah, Sarawak dari Malaysia, kata Zahid

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menghina dan mempertikaikan tindakan serta kuasa Sultan.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata sebagai ketua agama Islam negeri, kuasa Sultan perlu dihormati dan ditempatkan pada martabat yang tinggi dalam segala hal ehwal negeri.

"Mana-mana Sultan yang dihina, saya akan ambil tindakan ikut undang-undang terhadap mereka (yang menghina Sultan).

"Tindakan juga boleh diambil terhadap mereka yang mempersoalkan perkara di dalam Perlembagaan, termasuk mempersoalkan agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tanjong Karang semalam.

Turut hadir Ketua Bahagian Umno Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar.

Sementara itu, Noh ketika ditemui pemberita berkata agenda utama mesyuarat perwakilan bahagian itu adalah untuk menyatakan sokongan terhadap setiap keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menangani krisis pentadbiran di Selangor.

Noh yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor berkata pihaknya juga akan mengusulkan agar seluruh anggota dan perwakilan Umno Selangor supaya bersatu dalam mempertahankan Institusi Beraja di negeri itu.

"Saya akan mengusulkan supaya semua Umno bahagian menyokong setiap tindakan dan keputusan Sultan Selangor.

"Perkara ini perlu supaya Institusi Beraja di Selangor dapat dipertahankan sekaligus mengekang daripada wujudnya sebarang rasa tidak aman di negeri ini," katanya.

Selasa lepas, Sultan Selangor menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan dengan menitahkan pakatan pembangkang untuk mempersembahkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar Selangor yang baru selewat-lewatnya Rabu ini. – Bernama, 2 September, 2014.