KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Keadaan trafik di beberapa lebuh raya
utama sesak dan perlahan sejak petang tadi berikutan orang ramai mula pulang ke
destinasi masing-masing setelah berakhirnya cuti umum sempena Aidilfitri.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik di bahagian
selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bergerak perlahan di Simpang Empat ke
Pedas-Linggi, Ayer Hitam ke Machap dan Simpang Renggam ke Kulaijaya bermula
6 petang tadi.
Beliau berkata di bahagian utara PLUS pula, kawasan yang mengalami kesesakan
sejak tengah hari tadi ialah di Changkat Jering ke Terowong Menora, Tapah ke
Bidor dan Ipoh ke Kuala Kangsar.
"Kawasan di Sungai Petani selatan ke Sungai Dua, Bandar Baru ke Bukit Merah,
Simpang Pulai ke Gopeng dan sungkai ke Slim River mula mengalami kesesakan sejak
petang tadi kira-kira 3 petang," katanya ketika dihubungi malam ini.
Beliau berkata trafik di Jambatan Pulau Pinang menghala ke Bayan Lepas juga
bertali arus sejak 10 malam tadi disebabkan hujan manakala tol masuk ke jambatan
itu pula sesak sejak 6 petang.
-- LAGI
TRAFIK-PERLAHAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Trafik di Lebuhraya Pantai Timur, yang sebelum ini lancar, mula bertali arus
tetapi terkawal sejak 9 malam tadi.
"Berlaku pertambahan kenderaan di Gambang menuju ke Karak serta dari Bentong
ke Plaza Tol Gombak," katanya.
Namun, katanya keadaan trafik di plaza tol Sungai Besi dan Jalan Duta adalah
lancar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas
tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik.
-- BERNAMA
NAK2 NAK KLS

