Advertisement

Tujuh bekas anggota SUPP tarik balik permohonan semakan kehakiman

Mahkamah putuskan NSTP amalkan kewartawanan bertanggungjawab

Tujuh bekas ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini menarik balik permohonan bagi semakan semula kehakiman untuk mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana tidak membatalkan pendaftaran parti itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof membenarkan permohonan Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina, Dr Johnnichal Rayong Ngipa, Shiling Banggit, Datuk Tiong Thai King, Suzanne Lee Tze Ha dan Sia Jii Ming untuk menarik balik semakan semula kehakiman itu di dalam kamarnya.

Turut hadir dalam prosiding itu ialah peguam Edmund Bon mewakili pemohon, Peguam Kanan Persekutuan Khairul Fazly Kamarudin mewakili ROS dan peguam R Yatis bagi SUPP.

Edmund memberitahu pemberita kemudian mahkamah membenarkan permohonan itu tanpa perintah terhadap kos.

Sementara itu, dalam kenyataan yang diedarkan Edmund, pemohon berkata mereka memperoleh peluang untuk berkhidmat kepada rakyat menerusi sebuah parti baharu, Parti Rakyat Bersatu (UPP), dan mereka berpendapat lebih baik untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kehakiman itu agar SUPP tidak perlu berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya.

"Apa yang berlaku biarlah berlalu dan mudah-mudahan kita dapat bersama-sama terus mara bagi mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian di Sarawak," kata mereka dalam kenyataan itu.

Dalam permohonan semakan semula kehakiman itu, pemohon mendakwa pada November 2011, sebelum parti itu mengadakan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC 2011), terdapat aduan berhubung dakwaan penipuan dalam pemilihan parti.

Mereka mendakwa memaklumkan tentang perkara itu kepada RoS, bagaimanapun berlaku kelewatan di pihak RoS dalam mengambil tindakan perlu.

Pemohon antara lain memohon perisytiharan keputusan yang dibuat RoS pada 30 April 30 yang tidak membatalkan pendaftaran SUPP dibatalkan berkuatkuasa serta merta.

Mereka turut memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan RoS itu sejajar dengan Seksyen 16 (1)(c) (ix) Akta Pertubuhan 1966. – Bernama, 25 Julai, 2014.