Advertisement

Umno letak wanita seperti di zaman jahiliyah, kata pemimpin politik, NGO

Sedition rap has turned Malaysia into a police state, says Ambiga

Wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik menganggap kenyataan seksis peguam Umno yang menyatakan wanita tidak boleh menjadi menteri besar di negeri beraja merupakan penghinaan kepada kaum wanita dan seperti berada pada zaman jahiliyah.

Mereka berpendapat, ramai tokoh wanita termasuk beragama Islam yang dikagumi pernah memimpin negara, termasuk negara yang lebih konservatif daripada Malaysia.

Mereka berkata, Datuk Mohd Hafarizam Harun (gambar) tidak pernah mendengar nama Cancelor Jerman Angela Markel, Presiden Argentina Christina Fernandez de Kirshnerand, dan Presiden Brazil Dilma Rouseff.

Tidak ketinggalan wanita Islam pertama menjadi pemimpin kerajaan demokrasi Pakistan, Benazir Bhutto dan diikuti Begum Khaleda Zia sebagai perdana menteri Bangladesh.

Laporan akhbar New Straits Times semalam memetik kenyataan Hafarizam yang berkata, wanita tidak sesuai jadi calon menteri besar Selangor kerana tidak boleh mengiringi Sultan Selangor dalam majlis agama rasmi jika berada dalam keadaan uzur syarie.

"Walaupun undang-undang negeri Selangor tidak menghalang wanita menjadi menteri besar tetapi sudah menjadi kelaziman akan berlaku masalah jika keadaan itu berlaku," katanya.

Kenyataan itu ditujukan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang disebut-sebut sebagai calon menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Pengasas Negara-ku Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, kenyataan itu menghina kaum wanita dan perlu ditolak.

"Kita kesal apabila agama dijadikan batu penghalang untuk wanita Islam memegang jawatan pemimpin," kata Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam.

Beliau menggesa Hafarizam menarik balik kenyataan dan memberi amaran kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) agar tidak lagi memberikan komen yang memalukan.

Pengarah Eksekutif Women's Aid Organisation (WAO) Ivy Josiah berkata, menggunakan alasan haid untuk menghalang wanita menjadi pemimpin dilihat sebagai tidak adil dan tidak berasas.

"Tidak logik. Beliau mengheret kita kembali semula ke zaman jahiliyah apabila wanita sering ditindas dan hanya diberikan peranan kecil," katanya.

Peguam Lawyers for Liberty (LFL) Latheefa Koya berkata, wanita Islam mampu melakukan banyak perkara apabila mereka datang uzur.

"Wanita hanya dilarang berpuasa dan bersembahyang jika uzur. Kenyataan Hafarizam tidak berlandaskan Islam," katanya.

Latheefa mempersoalkan motif sebenar Hafarizam mempertikaikan Wan Azizah dan jawatan menteri besar.

"Apa sebab wanita tidak boleh jadi menteri besar? Jika tidak boleh pegang jawatan tinggi, lebib baik larang wanita terus daripada jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, cadangan Hafarizam itu tidak masuk akal, seksis dan hanya dijadikan bahan jenaka.

"Cadangannya menggambarkan ketakutan Umno tentang kebarangkalian Wan Azizah menjadi menteri besar dan mereka cuba menghalangnya daripada menjadi realiti," katanya.

Katanya, sama ada DWan Azizah layak atau tidak itu terpulang kepada peruntukan perlembagaan Selangor dan undang-undang demokrasi berparlimen.

Kok berkata, jika Dr Wan Azizah tidak boleh mengiringi Sultan Selangor, tugas itu boleh diambil alih oleh exco agama.

Ketua Puteri Umno Mas Ermieyanti Samsudin berkata kekuatan wanita juga perlu dilihat daripada segi keupayaan mental.

"Wan Azizah sebagai presiden PKR gagal mengawal pemilihan parti, apatah lagi jika mahu mentadbir negeri," katanya yang menganggap kenyataan itu sebagai pandangan peribadi Hafarizam.

Bekas calon DAP Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud berkata, pandangan Hafarizam membuktikan Umno gagal mengangkat martabat wanita dalam politik.

"Tidak mengejutkan kerana ketua Wanita Umno juga pernah memperlekehkan pencalonan saya semasa pilihan raya kecil Teluk Intan," katanya.

Pegawai politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang itu berkata, sikap negatif yang ditunjukkan pemimpin mampu merampas peluang wanita menjadi pemimpin pada masa akan datang – 16 Julai, 2014.