Debat terbuka boleh jadi faktor ‘wow’ Umno, kata Nur Jazlan

PAC to summon 10 ministries over issues raised in audit report

Seorang ketua Umno Bahagian mencadangkan parti berkenaan menyediakan platform untuk rakyat berbincang serta membahaskan isu berkaitan secara terbuka dalam bentuk ilmiah sebagai usaha menerapkan politik baru dan matang dalam Umno.

Datuk Nur Jazlan Mohamed yang memegang jawatan ketua Umno Bahagian Pulai selama tiga penggal mengakui Umno sering dilihat sebagai parti yang tertutup dan tidak menggalakkan perdebatan mengenai isu berkaitan rakyat secara terbuka di kalangan ahlinya, kecuali ketika Mesyuarat Perwakilan Bahagian atau Perhimpunan Agung parti.

“Umno perlu berubah, kerana rakyat sudah berubah dan perubahan yang dikehendaki golongan akar umbi terutamanya orang muda, adalah melihat pemimpin mereka berbahas secara ilmiah dengan fakta, sekali gus lari daripada politik yang berasaskan perkauman.

“Ini juga antara ‘wow factor’ yang dicari Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan saya percaya ramai pemimpin muda serta lama dalam parti bersetuju mengenai perkara ini,” katanya hari ini.

Nur Jazlan berkata demikian ketika mengulas mengenai program Wacana Sinar Harian ke-30 bertajuk “VEP: Apa tunggu lagi” di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat (KTSMR) semalam.

Wacana tersebut menampilkan ahli panel Umno yang diwakili Ketua Pemuda Umno Johor Hahasrin Hashim, Ketua Pemuda Pas Pusat Suhaizan Kaiat, Adun Senai yang juga Pengarah Polisi DAP Johor Wong Shu Qi dan Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat serta moderatornya, Dr Maszlee Malik.

Lokasinya diadakan di KTSMR yang turut menempatkan Pejabat Umno Bahagian Pulai.

Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai berkata Umno perlu menjadi pelopor politik matang dan menggalakkan semua pihak termasuk pembangkang berdiskusi, berdebat serta berbahas kerana ia untuk kepentingan rakyat.

“Bayangkan program yang julung kali diadakan di Johor Baru ini berjaya menarik penonton hampir 1,500 orang yang bukan sahaja terdiri daripada ahli Umno, PAS dan DAP tetapi juga segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata dalam perbahasan seperti wacana ini, rakyat dapat melihat dan mendengar sendiri hujah serta idea daripada pemimpin politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau ahli akademik.

“Rakyat dapat menilai pemimpin, sama ada mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib rakyat melalui idea dan gerak tubuh masing-masing selain mendengar kepetahan mereka dan tahap ilmu pengetahuan pemimpin mereka,” katanya.

Nur Jazlan berkata, melihat sambutan hangat masyarakat setempat terhadap program itu, beliau bercadang menubuhkan Yayasan Pemikir Tok Mat, mengambil nama bekas setiausaha agung Umno yang juga bapanya.

Beliau berkata, melalui yayasan berkenaan, ia akan menganjurkan program berbentuk ilmiah kepada ahli parti dan rakyat bagi berbincang secara ilmiah mengenai negara.

Katanya, Umno perlu menjadi ejen penggalak kepada percambahan minda di kalangan rakyat dan isu atau topik yang sering menjadi buah mulut rakyat bukan hanya berkisar tentang kaum dan agama semata-mata.

“Jika Umno mampu menyediakan platform seperti wacana yang dianjurkan Sinar Harian ini, saya pasti rakyat akan ‘wow’ dengan parti, kerana ia bentuk perubahan dan pendekatan yang dinantikan mereka selama ini, daripada melihat parti hanya berbentuk inklusif dan bercakap sesama sendiri,” katanya.