Advertisement

Undang-undang ganti Akta Hasutan mungkin hanya pada nama, kata penganalisis

Reduce Cabinet size, not add more taxes, says think tank

Datuk Seri Najib Razak mungkin mahu memansuhkan Akta Hasutan tetapi penganalisis berpendapat undang-undang baharu nanti akan sama menindas kerana perdana menteri mempunyai sejarah "memberi jenama baru kepada sesuatu yang lama".

Walaupun yakin Putrajaya akan menghapuskan undang-undang zaman penjajah itu, mereka berpendapat besar kemungkinan ia akan diganti undang-undang baharu yang masih mengekalkan semangat akta lama itu.

Penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan berkata perdana menteri mempunyai kecenderungan mengubah sesuatu perkara dengan cara sekadar menjenamakannya semula.

Beliau memberi contoh apabila Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menggantikannya dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang sama menindas.

Katanya, ketika Najib mengurangkan dasar tindakan afirmatif dan memperkenalkan Agenda Pengukuhan Ekonomi Bumiputera.

Beliau menyifatkan Najib hanya pandai berjanji tetapi tidak dalam tindakan pelaksanaannya.

"Apa yang saya bimbang ialah beliau akan tunduk kepada tekanan," kata Wan Saiful merujuk kepada suara yang sudah mula timbul di kalangan akar umbi Umno dan masyarakat biasa yang mahu akta tersebut dikekalkan demi menjaga kepentingan Islam, Melayu dan institusi diraja.

"Yang saya risaukan ialah suara-suara ini mungkin hanya sekadar bertindak balas kepada kehendak pembangkang yang mahu ia dimansuhkan, kerana saya tidak nampak rasional mengekalkannya,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini, beberapa siri pendakwaan dibuat Putrajaya mengikut Akta Hasutan dan hukuman dikenakan terhadap ahli politik, aktivis, wartawan dan ahli akademik.

Pengkritik mendakwa Najib berpatah balik daripada janjinya pada 11 Julai, 2012 apabila beliau mengumumkan akta itu akan dimansuh dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, sebahagian daripada agenda pembaharuannya.

Najib mengulangi janjinya itu dalam satu temubual dengan BBC World News setahun kemudian dan sekali lagi 3 hari lepas.

Semalam, perdana menteri berkata, Putrajaya akan berbincang dengan kumpulan Melayu yang lantang menentang pemansuhan akta itu dan pelaksanaan Akta Keharmonian Nasional.

Kenyataan tersebut dibuat selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada Ahad yang kerajaan masih belum membuat keputusan memansuhkan akta tersebut.

Penganalisis Dr Lim Teck Ghee berkata Najib tidak perlu memperdulikan gesaan daripada pihak yang menyokong Akta Hasutan.

"Tunduk kepada kumpulan berorientasikan fasis dan ultra-kebangsaan yang mempunyai agenda bertentangan dengan perdana menteri dan mahu kembali kepada rejim berkuku besi hanya akan menunjukkan beliau sebagai pemimpin yang sering lari daripada berdepan cabaran," katanya.

Pengarah Pusat Inisiatif Polisi itu berkata, Najib mungkin mahu menukar akta itu dengan undang-undang lain yang dapat memuaskan hati kumpulan tegar dalam dan luar Umno, tetapi ia akan ‘mengundang bencana’ kepada kedudukannya sebagai pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Daripada meraih lebih sokongan, tindakan itu mungkin hanya akan memperkukuhkan lagi kritik yang mengatakan beliau konservatif dan ekstremis, dan mungkin lebih memendekkan tempoh waktu untuknya berkhidmat sebagai perdana menteri.

"Beliau sudah menjanjikan kepimpinan yang sederhana, mempersatupadukan dan liberal. Beliau perlu bertegas melawan tekanan dan memenuhi janjinya atau hilang kredibiliti dalam negara dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Lim berkata undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menepis sebarang ancaman terhadap keselamatan negara.

"Isu sebenar ialah pelaksanaan undang-undang sedia ada dengan adil, saksama dan tidak berat sebelah. Ini menyentuh soal kebebasan dan hak asasi. Dan bila timbul keperluan untuk pihak berkuasa campur tangan dan menghadkannya untuk kebaikan negara. Undang-undang baharu tiada gunanya sekiranya ia dikuatkuasakan secara selektif dan bermotifkan politik," katanya.

Professor James Chin dari Monash University Malaysia percaya Najib akan berpegang kepada janjinya semata-mata membuktikan kepada pengkritik yang menuduh beliau tidak tegas dalam melaksanakan agenda pembaharuannya.

"Bagaimanapun, undang-undang yang menggantikannya nanti juga akan membenarkan tindakan diambil terhadap sesiapa yang mengkritik kerajaan," katanya.

Penganalisis itu berkata penggunaan Akta Hasutan di Malaysia bertentangan dengan definisi undang-undang negara Komanwel yang mentafsirkan hasutan sebagai "seruan melakukan keganasan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada".

Katanya, di Malaysia ia digunakan terhadap mereka yang hanya mengkritik kerajaan. – 9 September, 2014.