Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita
KUALA LUMPUR, 23 Sept — Tidak ramai penulis yang berani mengambil risiko menerbitkan buku pantun bertema cinta dan mempunyai unsur “erotis”, akan tetapi, inilah yang dilakukan oleh sekumpulan penulis muda di ibukota semalam.
Selain risiko dilabel tidak bermoral, penerbitan karya sebegini juga dipandang negatif dan remeh.
“Pandangan ini tidak tepat. Jika dilihat pantun-pantun lama memang sarat dengan nada erotis,” kata Jimadie Shah Othaman, penyunting antologi Sekuntum Pantun dan 99 Kelopak Cinta kepada The Malaysian Insider semalam.
“Malah, dalam perkembangan sastera dunia, garapan erotis dianggap elemen penting dalam karya berbentuk satira.”
Antologi ini memuatkan sembilan karya asil penulis muda dilancarkan dalam acara “bazar buku” Arts for Grabs di Pasar Seni, di ibu negara semalam.
Tambah Jimadie lagi, terdapat pantun lama antaranya mengunakan maksud berunsur erotis seperti: “Macam mana hati tak geram, melihat dada menolak baju”.
Katanya lagi, bentuk sastera begitu juga dalam dikesan dalam karya penulis seperti Salleh Ben Joned, malah sasterawan negara seperti Datuk Shahnon Ahmad dan Datuk A Samad Said.
Selain Jimadie, lapan lagi penulis ialah Al-Abror Mohd Yusuf, Fazallah Pit, Hazlan Zakaria, Rusnizam Mahat, Fakrul Fadzin, Hafiz Hamzah, Shahrul Nizam Daud, dan Tengku Vida Tengku Azlan.
Untuk maklumat berkaitan antologi ini boleh berhubung dengan penerbitnya Obscura Malaysia melalui e-mel obsura.malaysia@gmail.com.
Kira-kira 100 orang peminat seni hadir dalam acara itu. Turut dilancarkan kumpulan cerita pendek (Cerpen) oleh Nadia Khan.


