PAS untuk Semua? PAS untuk Melayu?

PAS banyak mencapai kejayaan untuk dirinya dan “politik Islam” yang diwakilinya di bawah panji “PAS untuk Semua” sejak tahun 2007.

Semua pencapaian PAS dalam masa tujuh tahun kini mungkin menyejat sama sekali dengan sikap “kluk-klek” (flip-flop) dalam krisis perlembagaan Selangor yang mencadangkan penonjolan mentaliti “PAS untuk Melayu”.

Antara dua strategi makro ini, “PAS untuk Semua” dan “PAS untuk Melayu”, mana yang lebih baik untuk PAS? Terdapat dua pendekatan dalam menilai mereka.

Pendekatan pertama berasaskan agama, apakah politik assabiyah itu sah di sisi Islam? Pendekatan kedua berasaskan untung-rugi politik, sah tidak sah itu lain cerita, yang penting ialah ia boleh memaksimakan undian kerusi untuk PAS, dan membawa PAS kepada kuasa pemerintahan.

PAS sudah tentu adalah pakar tentang apa yang halal dan apa yang haram dalam Islam dan tidak perlukan nasihat orang lain. Tetapi, mungkin tidak rugi untuk PAS meneliti pengamatan dan analisa saya tentang “pasarannya" di kalangan bukan Muslim sebelum membuat keputusan sama ada untuk “menjentik” pengundi bukan Melayu dan bernikah dengan Umno.

Apa lagi bukan Muslim mahu?

Kerana propaganda Umno yang berdekad-dekad, rakyat Malaysia bukan Melayu/bukan Muslim sering digambarkan sebagai golongan minoriti tamak haloba yang berkeinginan tidak terhingga.

Salah satu contoh ialah tuduhan Bumiputera Kristian di Sabah dan Sarawak sengaja ingin menggunakan kalimah Allah untuk mengelirukan atau menyinggung hati orang Melayu, sedangkan itu memang praktisnya jauh sebelum Malaysia ditubuhkan pada 1963.

Agak pasti, projek Malaysia tidak akan termeterai jika syaratnya penutur bahasa Melayu dan bahasa Iban beragama Kristian terpaksa melepaskan hak mereka menggunakan kalimah Allah.

Apa lagi pengundi bukan Muslim – dan juga ramai pengundi Muslim yang liberal – mahukan daripada parti-parti yang mewakili orang Melayu? Saya kira boleh disimpulkan dua perkara: keterangkuman (inclusiveness) dan kebolehramalan (predicitability).

Umno vs PAS

Dalam konteks ini, Umno dan PAS melambangkan dua ekstrim.

Umno adalah parti yang taksub mempertahankan status kuo yang meminggirkan komuniti minoriti sebagai warga kelas kedua. Ia kurang dalam ketererangkuman tetapi tinggi dalam kebolehramalan.

Peraturan permainan adalah jelas: golongan minoriti mesti dijadikan “orang jahat” yang menyatukan golongan majoriti, pada masa yang sama membayar “yuran perlindungan” dalam bentuk wang dan undi supaya Umno boleh mengekalkan sistem naungan (patronage) dan kronismenya.

Jika perlu, Umno akan cuba mengugut dengan ancaman kekerasan ala Mei 13, 1969 tetapi selagi bukan Muslim tidak mencabarnya, kewujudan mereka akan ditoleransikan, malah tempat ibadah dan sekolah mereka akan dapat kelulusan atau bantuan setiap kali undi dibuang.

Sebagai perbandingan yang ekstrim, PAS ingin mengubah keseluruhan sistem politik, masyarakat dan ekonomi Malaysia.

Mengikut teori, Ketuanan Melayu tidak akan wujud di negara Islam, tetapi apakah ia akan digantikan oleh Ketuanan Muslim, di mana golongan bukan Muslim akan dilayani sebagai golongan Dhimmi di Zaman Ottoman, warga kelas kedua secara eksplisit?

Kalau jawapannya “ya”, maka PAS tidak lebih merangkumi (inklusif) daripada Umno.

Apa yang lebih mengkhuatirkan golongan bukan Muslim ialah ketidaktentuan (uncertainty) apabila PAS berkuasa.

PAS sering mengejar perubahan daripada segi formaliti supaya pemerintahannya nampak seperti kerajaan Islam zaman kuno, tanpa memperincikan atau membuktikan kebaikan perubahan yang ingin dibawanya.

Golongan bukan Muslim tidak dapat tidak bertanya: ke mana perubahan PAS ini akan berhenti? Apakah sasaran muktamad PAS itu menjadikan Malaysia sebuah negara seperti Saudi Arabia, Sudan atau Afghanistan?

Faktor takut dan faktor percaya

Sokongan kepada PAS di kalangan rakyat bukan Muslim dan Muslim bukan Islamis akhirnya bergantung kepada dua faktor: takut (fear) dan percaya (trust).

Dalam erti kata ini, PAS mempunyai dua pilihan dalam strategi makro.

Strategi pertama, “PAS untuk semua” yang memerlukan Pakatan sebagai pelengkapannya boleh meningkatkan faktor percaya dan mengurangkan faktor takut terhadap PAS di kalangan bukan Muslim dan Muslim bukan Islamis.

Strategi kedua, “PAS untuk Melayu” yang menuju kepada Kerajaan Perpaduan (Unity Government, UG) dengan Umno nyata akan meningkatkan faktor takut dan mengurangkan faktor percaya di kalangan Muslim dan Muslim bukan Islamis.

Setakat ini, strategi pertama “PAS untuk semua” mencapai kejayaan yang tidak pernah tercapai sebelum ini.

Pada tahun 2008, Dr Siti Mariah Mahmud memenangi kawasan Kota Raja yang mempunyai 48% pengundi Melayu dengan 68% undi, jauh lebih tinggi daripada 52% yang dimenangi oleh Tok Guru Hadi Awang di Marang yang mempunyai 98% pengundi Melayu.

Pada tahun 2009, MB Perak Nizar Jamaluddin menjadi tokoh PAS pertama dan satu-satunya yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri akan datang oleh ramai pengundi Muslim. Ini semua kerana beliau berani mendukung demokrasi, menolak politik lompat parti ala katak dan menolak campur tangan istana dalam politik.

Erdogan, ulamak dan Unit Amal

Sebahagian kredit daripada Kejayaan PAS melalui Dr Siti Mariah dan Nizar harus diberikan kepada usaha golongan “Erdogan”.

Jasa terutama golongan ini ialah mengutarakan konsep “negara berkebajikan” sebagai sasaran perjuangan baru PAS, yang boleh diterima semua di dalam dan luar parti.

Tetapi, “faktor percaya” itu juga banyak mendapat sumbangan dari dua pihak selain golongan Erdogan.

Pihak pertama ialah golongan progresif dalam pimpinan ulama yang menerajui PAS sejak 1982.

Arwah Tok Guru Yusof Rawa, presiden PAS dari 1983-1989, menolak sama-sekali ideologi Umno dan kerjasama PAS-Umno pada zaman Datuk Asri Muda.

Pandangan arwah jelas sekali: “Orang-orang Melayu menjadi mundur kerana amalan assabiyah yang zalim. Sistem yang zalim itu mestilah dihancur-musnahkan. Usaha membantu orang Melayu akan gagal kerana rasuah dan penindasan, maka rasuah dan penindasan mesti dihancurkan. Kerana sistem yang zalim itulah menjadi punca kemunduran dan penderitaan seluruh rakyat.”

Dalam kaca matanya, PAS dan Islam itu untuk seluruh rakyat, bukan Melayu malah bukan Muslim saja. Tidak hairanlah anakandanya Dr Mujahid Yusof Rawa banyak berusaha mengeratkan silaturahim antara agama dan kaum.

Penggantinya, Arwah Ustaz Fadzil Noor, turut mengambil keputusan berani pada 1998 menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudiannya membantu pembentukan Barisan Alternatif, yang membolehkan PAS memenangi 27 kerusi Parlimen dan dua buah kerajaan negeri, keputusan terbaik sehingga hari ini.

Kalau kedua-dua mantan presiden PAS ini menaburkan benih “PAS untuk semua” sebelum ungkapan itu dicipta, maka Mursyidul Am PAS kini, Tok Guru Nik Aziz, menunjukkan apa maksudnya sepanjang 23 tahun beliau menerajui Kelantan.

Semasa PRU 1995, Badan Perhubungan Negeri Kelantan PAS membuat keputusan agar Tok Guru Nik Aziz tidak hadiri satu upacara di Kuil Teresek, Pasir Mas dan dilihat berdampingan bersama beberapa orang sami Buddha.

Ini kerana takutkan fitnah oleh jentera propaganda Umno bahawa Tok Guru membelakangi Islam demi undi, seperti pada tahun 1990 Tengku Razaleigh difitnah menjual orang Melayu Muslim kepada orang Kadazan Katolik.

Namun, beliau menolak keputusan ini dengan pegangan “berani kerana benar, takut kerana salah”. Akhirnya, akhbar-akhbar Umno memang mempermainkan isu ini tetapi gagal mempengaruhi undi Melayu.

Sebaliknya, pengundi bukan Muslim tertarik dengan pendirian Tok Guru yang berprinsip dan terbuka ini. Sikap istiqamah beliau menawan hati ramai bukan Muslim sekalipun mereka tidak bersependapat dengan beliau atas isu-isu tertentu seperti hubungan antara jantina.

Bagi mereka, Tok Guru ini seorang yang jujur, adil dan boleh dipercayai. Lain cerita sekali kalau Tok Guru bersifat kluk-klek dan pernah membuat plot untuk menjatuhkan temannya.

Satu lagi pihak yang banyak memenangi hati bukan Muslim bagi PAS ialah Unit Amal.

Mereka yang sedia membela rakyat bukan Melayu dalam pelbagi perhimpunan kuning (Bersih) dan hijau (Alam Sekitar) daripada serangan polis atau ancaman anasir-anasir penjahat.

Sejak 2001, unit amal menjadi contoh “orang Melayu yang baik dan boleh dipercayai” dalam kaca mata aktivis bukan Melayu. Kerana jasa unit amal, ramai mula sokong PAS.

Pilihan PAS: Kota Raja atau Marang?

Keputusan PAS dalam Krisis Perlembagaan Selangor ini bukan pasal Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PKR, Pakatan, Selangor atau Istana. Keputusan yang sebenar perlu dibuat adalah pasal hala tuju dan masa depan PAS sendiri.

Strategi “PAS untuk Semua” dan strategi “PAS untuk Melayu” bercanggah sepenuhnya. PAS tidak dapat bersikap oportunis untuk mengekalkan kedua-duanya sebagai pilihan, seperti perempuan Islam tidak dibenarkan bersuami dua.

PAS berhak memilih untuk memenangi lebih kawasan hampir-semua Melayu seperti Marang dan meninggalkan kawasan campur seperti Kota Raja. PAS berhak memilih jadi teman muda Umno.

Kemungkinan PAS akan disayangi seperti adik manja oleh Umno. Kemungkinan di bawah pimpinan Tok Guru Hadi Awang, pengalaman pahit yang dialami PAS di bawah Datuk Asri dalam tahun-tahun 1973-1977 itu tidak akan berulang lagi.

Siapa tahu, mungkin sekali air bah, sekali tebing berubah. Umno dan Najib mungkin juga boleh ubah, dari zalim menjadi alim, kerana ada dampingan PAS dan Tok Guru Hadi Awang.

Tetapi kalau itu keputusan PAS, janganlah PAS kembali ke pangkuan jalan beberapa tahun kemudian, tanya mengapa bukan Muslim tidak akan percaya kepada PAS lagi. Bagi kebanyakan orang, orang kuat agama sepatutnya yang paling berprinsip dan boleh dipercayai.

Itulah yang akan terjadi kepada usaha-usaha mulia Arwah Tok Guru Yusof Rawa, Arwah Ustaz Fadzil Noor, Tok Guru Nik Aziz, golongan Erdogan, dan para sukarelarawan Unit Amal sepanjang 31 tahun.

Jangan sayangkan yang terkendung itu hanya setelah ia tercicir. – 1 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.