KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Press Metal Bhd mencatatkan keuntungan
sebelum cukai yang lebih rendah kepada RM23.978 juta bagi suku kedua yang
berakhir pada 30 Jun, 2012, susut 34.8 peratus, daripada RM36.757 juta yang
dicatatkan pada suku sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Securities, syarikat itu berkata
prestasi yang lemah disebabkan harga aluminium yang lebih rendah dan kos
pembiayaan yang tinggi.
Perolehan berkurangan kepada RM522.385 juta semasa tempoh dalam kajian
daripada RM593.255 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya berikutan harga
aluminium yang lebih rendah.
Bagi tempoh setengah tahun, keuntungan sebelum cukai turun kepada RM56.744
juta daripada RM69.980 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2011.
Perolehan turun kepada RM1.047 bilion, bagi tempoh enam bulan daripada
RM1.065 bilion yang dicatatkan sebelumnya.
Mengenai prospek, Press Metal berkata ia kekal berhati-hati dalam
ketidaktentuan keadaan ekonomi.
Bagaimanapun, syarikat akan berusaha untuk mencapai keputusan kumpulan
memuaskan dengan pelaksanaan strategi pemasaran yang sewajarnya serta langkah
penjimatan kos yang lebih ketat.
Ia berkata persekitaran perniagaan global dijangka kekal mencabar dengan
krisis hutang zon Euro berterusan yang mencabar , pemulihan yang perlahan di
Amerika Syarikat serta pertumbuhan lembap di China.
-- BERNAMA
MSL VMD NHD


