Advertisement

Usahawan muda perjuang projek pendidikan – Program Bijak Math

Di kala ramai belia zaman sekarang sibuk berehat di rumah ataupun keluar bersuka ria bersama rakan-rakan pada hujung minggu, berbeza dengan dua anak muda ini. Long Haffiz Long Hassan dan Sofeea Qaisara mengabdikan sepenuhnya waktu hujung minggu mereka untuk merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi terus meningkatkan taraf pendidikan masyarakat Malaysia.

Berbeza dengan usahawan muda lain yang menjadikan pendapatan tambahan dan untung sebagai motivasi utama, anak muda berdua ini hanya ingin menjadikan komuniti Malaysia lagi gah dalam bentuk pendidikan. Ini kerana mereka percaya hanya itu yang mampu mengubah kehidupan rakyat Malaysia ke aras yang lebih tinggi.

Setelah mengenal pasti bahawa Matematik merupakan subjek yang para pelajar selalu berdepan kesukaran, Sofeea telah mengambil inisiatif sendiri untuk menyelesaikan masalah ini.

Beliau telah mula bergerak menyediakan Kelas Intensif Matematik sejak 6 tahun yang lepas; iaitu ketika berumur 20 tahun dan masih belajar di Universiti Malaya (UM) waktu itu. Kelas disediakan untuk para pelajar dari semua peringkat. Selepas hampir 5 tahun menyediakan Kelas Intensif Matematik, beliau telah diturut serta oleh Long Haffiz; graduan London School of Economics (LSE), United Kingdom untuk meningkatkan usaha mereka ke peringkat yang lagi tinggi.

Antaranya adalah penganjuran Seminar Motivasi “What & How”, Bengkel Matematik (Versi Penuh) dan penerbitan ratusan video pembelajaran Matematik untuk pelajar Sekolah Menengah. Kini mereka bergerak di bawah label “Program Bijak Math” ataupun lebih dikenali sebagai “Pro-Math” dan disokong sepenuhnya oleh barisan guru yang berpengalaman.

“Kami sedar bahawa sukar untuk orang kita nak kisahkan program-program yang berorientasikan pendidikan. Mereka lagi gemarkan hiburan, fesyen dan sewaktu dengannya. Tapi kami juga sedar, kalau bukan kami yang memperjuangkan pendidikan ke aras baru, siapa lagi yang mahu ambil inisiatif ini?,”ujar Long Haffiz. Memang benar, para pelajar lebih gemarkan hiburan dan fesyen berbanding pendidikan. Dan memang benar juga, anak-anak muda semuda 5 tahun sudah ada gadget masing-masing. Namun dua anak muda ini bersedia menyahut cabaran.

Mereka telah menerbitkan ratusan video pembelajaran Matematik untuk para pelajar Sekolah Menengah yang boleh ditonton di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa sahaja dan tidak perlu lagi membawa buku atau nota di tangan.

 Para Pelajar Kelas Intensif Matematik - Gambar ihsan Program Bijak Math
Para Pelajar Kelas Intensif Matematik - Gambar ihsan Program Bijak Math

Semua video pembelajaran ini dapat ditonton menerusi gadget mereka sendiri - smartphone, iPad, tablet dan seterusnya. Ini bersesuaian mengikut peredaran zaman yang mana anak muda zaman kini lebih gemarkan penggunaan gajet
dalam kehidupan seharian.

Usaha untuk mempromosikan program pendidikan dalam kalangan masyarakat Malaysia bukannya mudah. Mereka telah ditolak berulang kali oleh pihak penganjur yang berpendapat mereka terlalu muda untuk memperjuangkan dan meningkatkan status pendidikan di Malaysia.

Testimonial Ibu Bapa - Gambar ihsan Program Bijak Math
Testimonial Ibu Bapa - Gambar ihsan Program Bijak Math

Mereka juga telah mengambil tempoh yang lama; yakni hampir dua tahun dalam menyediakan set video pembelajaran Matematik. Ini kerana mereka hanya bergerak sendiri sepenuhnya dan tidak mengharapkan sebarang tajaan dan pelaburan dari pihak luar.

"Namun kami tahu, sekiranya kami berhenti di sini, kami tidak akan puas hati kerana kami percaya bahawa kami adalah jawapan untuk masalah-masalah yang ditempuhi para pelajar. Kos tuisyen makin tinggi, pelajar PT3 kurang arif dalam praktikaliti menjawab soalan Matematik, motivasi rendah untuk para pelajar menjawab peperiksaan besar, tips menghadapi temuduga scholarships dan banyak lagi masalah lain – kami hadir di sini untuk memberi dan berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan ilmu kami yang cetek dengan komuniti Malaysia,” tegas Sofeea.

Mereka amat sensitif apabila ditanya mengenai ganjaran yang mereka perolehi menerusi usaha mereka ini, serta caj yang dikenakan untuk aktiviti-aktiviti yang berada di bawah kelolaan mereka. “Kami ingin tegaskan lagi sekali bahawa usaha yang kami jalankan adalah berkonsepkan community service dan bayaran yang kami terima adalah yang paling minima iaitu sekadar menampung kos aktiviti iaitu seperti kos alat tulis, kos tempat seminar, kos perjalanan dan sewaktu dengannya.

Caj kami juga bergantung kepada kemampuan para pelajar dan pihak sekolah itu sendiri. Contohnya, satu set 100 hingga 200 video pembelarajan Matematik untuk setiap tingkatan hanya sekitar RM10 to RM50 sahaja mengikut pakej yang tersedia.”

Perjalanan dua anak muda ini; di bawah label “Pro-Math” adalah masih jauh. Namun setiap hari mereka akan meneliti segala usaha dan rancangan mereka. Mereka berterusan meningkatkan kualiti program yang dianjurkan serta produk yang dihasilkan di bawah Program Bijak Math.

Bagi mereka, pendidikan di Malaysia merupakan satu bidang yang luas dan hanya usaha yang gigih dan istiqamah menjadi pegangan. Dan mereka percaya bahawa usaha mereka yang berkonsepkan “community service” ini akan diterima dan disambut baik oleh masyarakat Malaysia pada suatu hari nanti. Selamat Berjaya Program Bijak Math! – 5 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.