Utamakan cara hidup pribumi demi jayakan agenda negara, kata Ridhuan Tee

Saya ‘lebih Melayu’ sebab orang Melayu takut bersuara, kata Ridhuan Tee

Hubungan antara kaum di Malaysia akan menjadi semakin buruk jika hak kaum pribumi tidak dipelihara dan dijadikan agenda nasional, kata Dr Ridhuan Tee Abdullah (gambar).

Pensyarah kontroversi itu memetik kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melihat keadaan di Malaysia berbeza jika dibandingkan dengan negara jiran apabila bahasa dan budaya kaum pribumi dijadikan agenda kebangsaan.

“Kenapa pemimpin (negara jiran) boleh diterima oleh penduduk asal walaupun mereka berbeza bangsa? Jawapannya mudah, mereka mengasimilasikan diri menjadi orang tempatan.

“Agenda tempatan menjadi agenda negara. Budaya dan cara hidup bangsa pribumi diutamakan dari segalanya,” katanya dalam rencana di akhbar Sinar Harian hari ini.

Mahathir pada satu sidang media baru-baru ini berkata peluang untuk melihat rakyat negara ini tidak terpisah dengan batasan kaum sangat sedikit.

Katanya, perkara itu berpunca daripada Kontrak Sosial yang dipersetujui agar setiap etnik dapat mengekalkan identiti budaya sendiri.

“Kita akan sentiasa dikenali mengikut kaum kerana golongan sederhana dalam masyarakat tidak berani mempersoalkan apa yang disebut oleh golongan ekstremis dalam masyarakat.

“Disebabkan kita tidak mahu berubah, kita tidak akan berjaya menjadi warga Malaysia sebenar,” katanya.

Ridhuan berkata lebih membimbangkan lagi apabila Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak memartabatkan bahasa Melayu dengan meminggirkan bahasa kebangsaan itu dalam papan tanda mereka.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan mekanisme yang boleh digunakan untuk menyatu-padukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Ke mana hala tuju Malaysia? Sudahlah Perlembagaan memberikan kelonggaran, setiap bangsa bebas untuk mengamalkan agama, sekolah dan bahasa masing-masing. Kita mengambil kesempatan dan memanipulasikan semua keadaan.

“Sama juga SJKC. Sangat sedikit yang logo atau lencana atau nama bangunan sekolah diletakkan bahasa Melayu sebagai yang pertama. Lebih ekstrem lagi, ada yang sepatah pun bahasa Melayu tidak ada pada lencana dan bangunan sekolah.

“Sekolah tersebut seolah-olah tidak berada di Malaysia, tetapi di China, Hong Kong dan Taiwan. Saya semakin keliru, kita mahu bawa ke mana negara kita ini? Apakah pemimpin negara pernah terfikir tentang perkara ini? Atau kita sengaja mahu membiarkan negara kita ini caca-marba?” katanya.

Pengacara Dunia Pencetus Ummah itu turut menggesa kerajaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan orang ramai selain menambahkan pembinaan Sekolah Wawasan.

Katanya, kerajaan juga perlu menghentikan sumbangan kepada institusi atau badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mendaulatkan agenda negara dengan tidak memberikan pengecualian cukai.

“Saya bukanlah mencadangkan perpaduan itu adalah keseragaman seperti yang dilakukan banyak negara lain. Kita sudah hampir mustahil untuk mencapai ke arah itu tetapi sekurang-kurangnya, ambillah sedikit inisiatif untuk menyatu-padukan rakyat berbilang kaum dan budaya sebelum terlambat.

“Mulai sekarang, wajibkan penggunaan bahasa Melayu di khalayak dan sekolah. Setiap nama bangunan mesti dimulakan dengan bahasa Melayu diikuti dengan bahasa lain. Begitu juga dengan nama jalan dan sebagainya,” katanya menerusi rencana bertajuk “Paksakan Agenda Negara”. – 25 Ogos, 2014.