IPOH, 20 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan membuka Pusat Transformasi Bandar
(UTC) di stesen Pudu Sentral di Kuala Lumpur pada bulan depan, kata Menteri
Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata pusat setempat itu akan memudahkan masyarakat bandar
mendapatkan akses kepada keperluan yang disediakan oleh agensi kerajaan, swasta
dan badan bukan kerajaan di bawah satu bumbung.
Katanya sebelum ini UTC pertama diwujudkan di bandar Melaka pada Jun lalu.
"Kemudahan UTC juga dijangka disediakan di pusat membeli-belah Super Kinta
di sini," kata Ahli Parlimen Tambun itu kepada pemberita pada majlis rumah
terbuka sempena Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.
Ahmad Husni juga berkata sokongan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Barisan
nasional (BN) kini semakin meningkat ekoran kesungguhan kerajaan yang begitu
prihatin mencorakkan masa depan mereka.
Beliau berkata rakyat kini mula matang menilai inisiatif kerajaan
memperkenalkan pelbagai kemudahan berbanding janji-janji populis pembangkanG
yang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.
-- BERNAMA
NBA NBA DC

