Advertisement

Utusan dakwa graduan Melayu didiskriminasi syarikat Cina

Utusan dakwa graduan Melayu didiskriminasi syarikat Cina

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Akhbar Umno, Utusan Malaysia, hari ini melaporkan kajian sebuah universiti awam di negara ini menunjukkan graduan Melayu didiskriminasikan oleh syarikat milik masyarakat Cina dan juga warga asing.

Laporan akhbar tersebut dilihat sebagai kesinambungan daripada serangan terhadap komuniti Cina selepas pilihan raya pada 5 Mei lalu, dengan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini memaparkan tajuk “Diskriminasi syarikat Cina berdasarkan kajian universiti awam. Graduan Melayu disisih.”

Kajian selama enam bulan oleh universiti yang tidak dinamakan Utusan itu turut menyebut faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan graduan Cina lebih menjadi pilihan berbanding graduan Melayu untuk ditemuduga.

“Daripada lebih 3,000 resume yang dihantar kepada syarikat terbabit kamun Melayu hanya mempunyai 4.2 peratus peluanf dipanggil temuduga.

“Kaum Cina pula mempunyai 22.1 peratus peluang walaupun mereka mempunyai kelulusan setara dan lepasan universiti sama dengan kaum Melayu,” memetik laporan Utusan Malaysia.

“Graduan Melayu yang boleh bertutur , menulis, dan membaca dalam bahasa Cina juga lebih berkemungkinan dipanggil temuduga berbanding mereka yang tidak mempunyai kebolehan,” kata kajian itu lagi.

Utusan turut melaporkan berdasarkan kajian yang dibuat, ia turut melibatkan graduan yang baru menamatkan pengajian dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dan majikan jelasnya lebih berminat dengan institusi pengajian tinggi awam berbanding swasta.

Antara institusi yang menjadi pilihan majikan adalah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala bagi IPTS pula adalah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Sementara itu ruangan 'Bisik-Bisik' oleh Awang Selamat turut mengulas berkenaan perkara itu yang mana Awang menjelaskan aliran penguasaan mandarin pemohon menjadi kelebihan buat mereka dipanggil temu duga.

“Awang cuba membayangkan betapa enguasaa bahasa Mandarin menjadi syarat permohonan jawatan yang langsung tiada hubungan langsung dengan keperluan penjawatnya perlu menguasai bahasa itu.

“Iklan seperti itu mudah dilihat di dalam akhbar sebenarnya. Ia bagi Awang adalah cara penolakan calon yang bukan menguasai Mandarin, yang bukan pun bahasa kebangsaan negara ini,” kata Awang.

Awang turut menjelaskan kajian berkenaan mencadangkan penubuhan Akta Peluang Saksama perlu digubal bagi mengekang diskriminasi daripada terus berlaku.

Selepas keputusan Pilihan Raya 2013, komuniti Cina terus menjadi sasaran apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata faktor “Tsunami Cina” menjadi punca prestasi Barisan Nasional (BN) yang merosot dalam pilihan raya tersebut.

Utusan Malaysia juga dalam muka depan akhbar tersebut pada 7 Mei menerbitkan laporan muka depan dengan tajuk “Apa Lagi Cina Mahu” yang mencetuskan rasa kurang senang beberapa pihak.