Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 13 Okt — Tindakan Murdyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menganggap DAP sebagai rakan karib nyata mencetuskan reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemimpin dalaman parti itu yang menyifatkan Nik Aziz sebagai “keliru” dan tidak memahami keadaan sekeliling, lapor akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini.
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Prof Madya Mohd Noor Deri dipetik akhbar berkenaan berkata Nik Aziz (gambar) telah termakan umpan DAP sehingga beliau melihat kerjasama itu indah tanpa mengambil kira penentangan daripada ahli parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sendiri.
“Dia nampak kerjasama itu cantik tetapi sebenarnya dihiasi syaitan. Tetapi disebabkan sejak dulu dia menentang Umno, jadi sekarang Umno yang jahat, bukan DAP,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengasas Pondok Genting di Tumpat, Abdullah Sa'amah pula menyifatkan Nik Aziz lupa bahawa DAP sangat agresif menentang hasrat PAS melaksanakan Hudud.
Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya untuk Nik Aziz berundur dan meletakkan jawatan sebelum lebih ramai yang terpengaruh dengan kenyataannya itu.
“Macam mana tidak menyusahkan bila PAS nak tegakkan hukum Islam tidak boleh? Tidakkah itu penentangan terbuka DAP?
“Jadi kita pakat minta dia letak jawatan. Bukan nak kata dia sudah tua atau nyanyuk, tapi kenyatannya membuktikan dia sudah cukup tua dan keliru,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malah, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali juga turut senada dengan Abdullah apabila mendesak Nik Aziz supaya melepaskan jawatannya kerana mempertahankan kerjasama PAS dengan DAP.
“Mungkin sudah sampai masanya sebelum nasi menjadi bubur, Nik Aziz memikirkan untuk menyerahkan tanggungjawab besar sebagai Mursyidul Am kepada timbalannya, yang saya yakin mempunyai kemampuan dan kewibawaan yang setara dengan beliau,” katanya dipetik laporan Sinar Harian Online hari ini.
“Saya berpendapat demi untuk menjaga keutuhan dalam PAS dan menjadikan PAS terus berdarjat dan bermartabat sebagai 'custodian' kepada perjuangan Islam, TGNA (Nik Aziz) perlu menoleh ke belakang untuk bermuhasabah,” katanya lagi.
Oleh itu jelasnya, sudah tiba masanya untuk Nik Aziz merenung sejauh-jauhnya tentang kehadiran beliau dalam hierarki kepimpinan PAS sama ada benar-benar menguntungkan atau merugikan bukan sahaja perjuangan PAS sebagai sebuah parti Islam tetapi yang lebih penting adalah perjuangan PAS itu sendiri termasuklah imej, kehebatan dan keagungan Islam.
Nik Aziz sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa DAP tidak pernah mengganggu PAS, malah turut menegaskan kerjasama antara dua parti itu perlu untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.



