5 Nov – Video muzik terbaru No Doubt, "Looking Hot" yang baru diletakkan di laman Youtube terpaksa dikeluarkan semula berikutan dari aduan komuniti orang Asli Amerika, serta komen-komen di laman tersebut yang berbaur kritikan disebabkan imej yang dipaparkan.
Ini kerana video yang memberi gambaran puak Red Indian dan koboi itu dilihat sebagai suatu bentuk penghinaan terhadap mereka dari segi budaya dan sejarah.
Atas hal tersebut, ahli kumpulan No Doubt yang terdiri dari Gwen Stefani, Tom Dumont, Tony Kanal dan Adrian Young telah pun meminta maaf menerusi laman sesawang rasmi mereka pada hari Sabtu yang lepas, lapor Reuters.
"Sebagai sebuah kumpulan yang terdiri dari ahli pelbagai kaum, penubuhan kami adalah berasaskan kepelbagaian serta pertimbangan semua jenis budaya. Video baru kami tidak pernah bertujuan untuk menyinggung ataupun memperkecilkan orang Asli Amerika, budaya mereka mahupun sejarah," ujar kumpulan itu dalam satu kenyataan di laman rasmi mereka.
Dalam video "Looking Hot", Stefani berpakaian seperti seorang gadis Asli Amerika dan diculik oleh koboi yang dilakonkan oleh Young dan Dumont. Beliau kemudiannya diselamatkan oleh Kanal, yang memperlihatkan dirinya sebagai ketua puak orang Asli tersebut.
"Walaupun kami telah berunding dengan rakan-rakan berbangsa orang Asli Amerika serta pakar puak tersebut di Universiti California, kini kami sedar bahawa kami dengan tidak sengaja telah menyinggung perasaan beberapa pihak. Oleh itu, kami meminta maaf kepada komuniti orang Asli Amerika dan juga sesiapa yang berasa tersinggung akibat dari video ini."


