LONDON, 15 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata perbuatan dua tiga orang cuba berbuat bising semasa majlis pertemuan
beliau dengan rakyat Malaysia di sini semalam tidak mencemarkan majlis tersebut.
"Ia tidak menganggu saya dan suasana dapat dikawal selepas dua tiga minit.
Kita akan menayangkan (rakaman) video mengenai majlis tersebut secara
keseluruhan," katanya pada pemberita Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan untuk menayangkan rakaman video itu diambil kerana
kemungkinan ada pihak yang akan cuba memberi persepsi yang berbeza mengenai
perkara itu.
"Jadi kita terpaksa membetulkan, hakikat apa yang telah berlaku dan ramai
yang hadir semalam termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk
Seri Zakaria Sulong,” katanya.
Adalah difahamkan rakaman video itu akan dimuatnaik ke dalam blog
1Malaysia.
-- LAGI
NAJIB-VIDEO 2 LONDON
Semasa sesi "Sepetang Bersama Perdana Menteri" yang dihadiri 1,500 orang
semalam, dua tiga orang muncul pada majlis tersebut dan berbuat bising.
Najib berkata sejumlah besar tetamu pada majlis itu begitu mesra dengan
beliau, mereka bersalaman dengannya sambil memberi kata-kata perangsang serta
ramai yang meminta bergambar bersamanya.
"Ini menunjukkan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh dua tiga orang semalam
itu tidak mencemar majlis tersebut, ia telahpun diduga. Akibat limpahan
daripada demonstrasi Bersih 3.0 baru-baru ini, sudah tentu mereka akan mengambil
kesempatan eksploit kehadiran saya bagi kepentingan mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata sebahagian besar rakyat Malaysia cintakan keamanan dan
tidak suka kepada kekacauan. Mereka menghormati prinsip keluhuran undang-undang.
"Ini dapat dilihat apabila saya berbual dengan mereka yang hadir, bukan
sahaja apa yang mereka luahkan begitu positif, tetapi juga telah menerpa ke
hadapan untuk bergambar dengan saya," katanya.
-- LAGI
NAJIB-VIDEO 3 (AKHIR) LONDON
Tetapi seperti biasa, katanya, ada segelintir yang kecil yang cuba "hijack"
untuk tujuan tertentu.
"Ini adalah kes di mana sekumpulan minoriti kecil cuba dominate keadaan dan
suasana. Sebab itu sebagai kumpulan majoriti kita tidak boleh membenarkan
perkara ini dan kita tidak akan rasa tertekan dalam perkara ini," beliau
menambah kata.
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada Isnin untuk lawatan
kerja dua hari ke United Kingdom. Perdana Menteri menerima jemputan Putera
Wales, Putera Charles, untuk menghadiri majlis resepsi sempena penganugerahan
Carter Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford pada petang ini.
-- BERNAMA
FR ZS RHM

